KOTA KINABALU, 27 JULAI – Harga petrol RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dijangka memberi impak positif signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat di Sabah.
Penjawat awam Ampuan Suhaini Ampuan Kassim, 51, berkata langkah proaktif kerajaan itu adalah keputusan berani yang mampu mengekalkan kestabilan ekonomi rakyat.
Beliau yang sering berulang-alik dari Papar ke Kota Kinabalu berkata penurunan harga minyak sangat memberi manfaat terutamanya kepada penduduk luar bandar yang bergantung kepada pengangkutan persendirian.
“Kenaikan harga RON95 sebelum ini telah memberi kesan ketara kepada harga barangan dan perkhidmatan walaupun di bawah kawalan kerajaan,” katanya kepada Bernama.
Ampuan Suhaini berkata pengumuman berkenaan turut membuktikan komitmen Perdana Menteri dalam memenuhi janjinya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa harga petrol RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter yang diumumkan pada Rabu lepas hanya untuk rakyat Malaysia, manakala warga asing akan dikenakan harga berdasarkan kadar pasaran semasa. – Bernama
