BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Isu kenaikan harga barang bukanlah perkara baharu semenjak tercetusnya wabak COVID-19 di seluruh dunia, namun kemungkinan kenaikan harga barangan plastik telah membuat masyarakat terasa agak gelisah dan bimbang
Kenaikan itu, sejajar dengan harga barangan mentah, makanan dan keperluan harian yang semakin meningkat, pastinya tambah membebankan terutamanya bagi keluarga kurang berkemampuan.
Sehubungan itu, wartawan Media Permata meninjau beberapa buah pasar raya dan kedai-kedai runcit di negara ini, dan mendapati ada sebahagiannya meletakan notis mengenai kenaikan harga plastik dan mengenakan bayaran tambahan untuk penggunaannya.
Perkara itu juga hangat ditularkan di media sosial hari ini, yang mana ada pengusaha-pengusaha kecil setuju untuk penggunaan barangan plastik dikenakan bayaran tambahan, memandangkan pembekal juga telah menaikkan harga cukai untuk barangan plastik sekilogram.

Menerusi maklumat tular di media sosial itu, sebuah pasar raya di Negara Brunei Darussalam telah mengenakan bayaran tambahan ke atas kotak kontena plastik sebanyak $0.30 dan beberapa pengusaha kecil juga ada mengenakan bayaran beg plastik sebanyak $0.20.
Dayang Syamsiah binti Haji Baruddin dari Kampung Kiarong berkata, beliau memang sudah menjangkakan harga barangan plastik akan naik, dan bersiap sedia untuk memikirkan langkah seterusnya untuk tidak menggunakan beg plastik atau sebagainya.
“Perkara ini bukanlah perkara yang baharu, ia sudah terjadi di beberapa buah negara, dan di tempat jualan makanan seperti pasar malam dan sebagainya, menaikkan harga makanan yang dijual dengan mengambil sukat kira-kira penggunaan plastik dan sebagainya”.
Sebagai orang awam, ujarnya lagi, kita terpaksa akur dengan kenaikan harga selepas penularan wabak COVID-19.
Barangan sekarang ada yang mengalami kenaikan harga dalam lebih beberapa sen terutamanya makanan seperti ikan, sayur, dan lain-lain.
“Saya terpaksa akur dengan kenaikan harga barang walaupun agak mustahil untuk ia menurun,” tambahnya.
Sementara itu, Haji Sohaili bin Haji Mohidi, ketika dihubungi berkata, kenaikan harga barangan terutama plastik di negara ini mungkin satu perkara yang wajar difikirkan.
Beliau berharap pihak kerajaan mengkaji balik kenaikan harga barangan kerana ia membebankan rakyat.
Mengulas mengenai maklumat tular mengenai bayaran tambahan bagi penggunaan barangan plastik, beliau berpendapat bahawa tambahan sebanyak 30 sen agak mahal dan berpotensi mempengaruhi jualan produk plastik lainnya seperti sudu, garpu dan cawan serta sebagainya.
“Mungkinkah kenaikan harga ini ada kaitannya dengan nilai cukai barangan atau sebagainya, kami sebagai pengguna yang hanya mempunyai gaji atau pendapatan yang terhad sekian lamanya ini pun tidak mahu merasa teraniaya dan tertekan kerana tahun demi tahun harga kebanyakan produk barangan tiada penurunan malah terlalu drastik kadar kenaikan harga-harganya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beberapa pengusaha kecil juga dalam kerisauan dan serba salah kerana kenaikan harga kotak plastik, beg plastik dan sebagainya, yang akan merugikan mereka jika harga yang dijual tidak dinaikkan, namun ia juga terpaksa dinaikkan dan mendapat teguran daripada orang ramai.
Bagi peniaga kecil-kecilan pula, mereka tiada pilihan dengan kenaikan harga makanan yang dijual itu disebabkan kos bahan lain yang sememangnya mahal ketika ini.
Mereka berharap orang ramai akan dapat menerima perubahan semasa dan terus menyokong para peniaga kecil-kecilan.
Dayang Mimie binti Abdul Hamid, peniaga durian, juga merasa kurang senang dengan kenaikan harga plastik. Mana-mana barangan makanan yang menggunakan plastik telah dinaikkan harga, begitu juga dengan buah durian yang dimasukkan ke dalam kontena plastik.
“Kami sentiasa memberikan harga yang terbaik untuk pelanggan, memang ada sedikit kenaikan, namun kami tetap memfokuskan kepada kemahuan pelanggan, harga durian yang sudah dibuka dan dimasukkan ke dalam kontena plastik masih lagi dengan harga yang berpatutan mengikut saiz dan jenis durian,” ujarnya.
Musim durian akan tiba tidak lama lagi dan para peminat pastinya menanti-nantikan durian pilihan mereka, tambahnya.



