KUALA LUMPUR, 13 Okt – Harga saham syarikat-syarikat penerbangan global menokok sebanyak 0.9 peratus pada September 2017 iaitu peningkatan pertama bagi bulan ke bulan sejak Jun berikutan pemulihan dicatatkan indeks Amerika Utara, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) hari ini.
Menerusi edisi September Airlines Financial Monitor, persatuan syarikat-syarikat penerbangan global itu berkata saham penerbangan sekali lagi mencatat peningkatan dalam pasaran ekuiti antarabangsa pada bulan tersebut dan ini jauh mengatasi indeks global berbanding setahun lepas.
“Saham-saham syarikat penerbangan Amerika Utara meningkat lebih daripada 5.0 peratus pada awal Oktober susulan perolehan unit bagi suku ketiga yang kukuh.
“Sebaliknya, indeks saham syarikat penerbangan Asia Pasifik dan Eropah pula mencatat penyusutan yang sederhana sepanjang September iaitu masing-masing sebanyak 1.1 peratus dan 0.6 peratus,” katanya. Sementara itu, bilangan penawaran tempat duduk dalam penerbangan global meningkat sebanyak 0.7 peratus pada Ogos berbanding bulan sebelumnya.
Ini menjadikan bilangan tempat duduk sedia ada itu naik 6.2 peratus daripada tempoh sama, tahun lepas. Selain itu, kata IATA, sebanyak 130 pesawat baharu telah dihantar pada Ogos, merosot sedikit daripada penghantaran sebanyak 143 pesawat bagi bulan sama pada 2016.
Bagi tempoh setakat 2017 ini, persekitaran perdagangan global yang lebih kukuh turut memberi sokongan kepada pertumbuhan permintaan penumpang kelas premium, khususnya bagi pasaran membabitkan rantau perusahaan utama di Asia.
Bahagian kelas premium daripada keseluruhan penumpang juga stabil iaitu sebanyak 5.3 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama 2017. – Bernama