TOKYO, 20 NOV – Para pembeli berpotensi berdepan harga lebih tinggi bagi telefon, komputer riba dan gajet lain tahun hadapan, menurut amaran pengeluar serta penganalisis, apabila pusat data AI meningkatkan penggunaan cip memori yang lazim digunakan dalam elektronik pengguna.
Syarikat teknologi gergasi dunia kini melaburkan jumlah yang amat besar untuk membina perkakasan yang menggerakkan alat kecerdasan buatan seperti ChatGPT.
Permintaan luar biasa itu menjejas rantaian bekalan, dikawal oleh pengeluar cip yang mahu mengelakkan kejatuhan harga yang boleh menjejaskan keuntungan, kata para pakar.
Pada tahun 2026, tekanan terhadap rantaian bekalan cip memori ‘akan menjadi jauh lebih besar daripada tahun ini,’ kata Lu Weibing, presiden gergasi elektronik China, Xiaomi, minggu ini.
“Semua orang mungkin melihat harga runcit produk akan meningkat dengan ketara,” katanya semasa panggilan persidangan bersama pelabur.

William Keating, ketua firma perunding semikonduktor dan teknologi Ingenuity, menjangkakan perkara sama.
“Semua syarikat yang menghasilkan PC, telefon pintar, pelayan dan sebagainya akan terkesan oleh kekurangan ini,” katanya kepada AFP.
“Keputusan akhir, pengguna akan membayar lebih.”
Cip yang paling tinggi permintaan ialah cip utama jenis DRAM dan komponen storan dikenali sebagai NAND, digunakan dalam gajet harian tetapi juga penting untuk memproses sejumlah besar data yang diaplikasikan oleh AI generatif.
Permintaan ini mendorong harga cip memori meningkat, sekali gus melonjakkan hasil syarikat yang mengeluarkannya seperti Samsung dan SK hynix dari Korea Selatan, serta Micron dan SanDisk dari Amerika Syarikat.
“Permintaan pelayan berkaitan AI terus meningkat, dan permintaan ini jauh mengatasi bekalan industri,” kata Kim Jae-june dari Samsung Electronics bulan lalu. – AFP

