Hargai jasa dedikasi guru

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Guru adalah golongan amat penting dan bertanggungjawab dalam menyampaikan, mengajar, memperkaya pelajar dan masyarakat dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Khatib dalam Khutbah Jumaat bertajuk ‘Menghormati, Menghargai dan Memuliakan Guru’ hari ini menegaskan perkara itu dan menambah, mengajarkan ilmu bermanfaat itu adalah amalan mulia yang dipandang tinggi.

Ilmu adalah pelita hidup yang sangat penting dan berguna dalam kehidupan kerana dengan ilmu akan dapat membantu untuk berjaya di dunia dan di akhirat.

Allah mengurniakan darjat yang tinggi kepada orang yang berilmu pengetahuan dan mereka yang berusaha mencari ilmu akan dipermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.

Khatib seterusnya menambah, guru sebagai pendidik mempunyai peranan penting menjadikan setiap anak didiknya jadi orang berilmu dan cemerlang selain menanamkan akhlak mulia.

Sehubungan itu, guru diingatkan untuk menjauhkan diri daripada sifat keji dan tercela kerana mereka perlu memiliki sifat terpuji yang antaranya sifat ikhlas dan sabar dalam mendidik dan menyampaikan ilmu pengetahuan dan bukan kerana balasan material atau mengharapkan pujian atau pangkat semata-mata.

Di samping itu, guru juga perlu mempunyai sifat dedikasi dalam menyampaikan ilmu, bersifat penyayang terhadap setiap anak didiknya, bersifat adil dan tidak mengamalkan sikap pilih kasih, amanah dan memberi komitmen yang penuh dalam setiap tugas yang diberikan.

Selain membuat persediaan yang secukupnya sebelum memulakan pengajaran, menjaga kehormatan diri dan keluarga iaitu tidak melibatkan diri dengan perkara yang boleh menjatuhkan imej dan maruah diri sama ada dari segi pakaian, percakapan mahu pun perbuatan.

Khatib dalam khutbahnya menegaskan, “Amanah yang dipikul oleh guru itu sangatlah besar dan berat kerana mereka bertanggungjawab untuk memperkaya pelajar dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni.

“Guru diamanahkan untuk melahirkan insan syumul yang berupaya untuk memenuhi tuntutan di dunia dan ukhrawi,” tegasnya.

Dalam perkara ini, agama Islam menganjurkan sesiapa pun untuk menghormati, menghargai dan memuliakan guru bukannya mencerca, menghina apatah lagi melawan apabila ditegur oleh guru kerana dikhuatiri akan hilang dan ditarik atau tidak memperolehi keberkatan dan manfaat ilmu.

Banyak hikmah yang dapat diperolehi dengan menghormati dan memuliakan guru dan ini antaranya memperolehi kejayaan kehidupan di dunia dan di akhirat, mudah mengingati dan memahami apa yang dipelajari, membentuk pendirian serta akhlak yang mulia dan yang paling penting memperolehi ilmu yang diberkati Allah.

Guru juga adalah seorang pendidik, pembentuk adab dan akhlak, mengasuh dan mendidik dengan kasih sayang, menyampaikan yang benar dan membimbing ke arah kebaikan.

Mereka juga adalah insan mulia yang telah mengajar dan mendidik tanpa mengenal erti penat dan lelah dan oleh itu, segala kesusahan dan jerih payah yang mereka tempuhi dalam mengajar dan mendidik perlu dihormati dan dihargai. Khatib seterusnya menjelaskan, tugas sebagai seorang guru dan pendidik bukanlah satu tugas yang mudah, ia menuntut kepada pengorbanan dan komitmen dari segi masa, tenaga, wang ringgit dan seumpamanya.

“Kita seharusnya berterima kasih di atas segala pengorbanan dan jasa guru yang telah mendidik serta membimbing malah ibu bapa juga perlu menghormati para guru yang mendidik anak-anak mereka sehingga menjadikan mereka insan yang berilmu, berjaya dan cemerlang,” jelasnya.

Menurut khatib, terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk menghargai jasa guru seperti mengucapkan terima kasih, mengamalkan segala ilmu yang telah dipelajari, sentiasa mengeratkan hubungan silaturahim walaupun telah tamat pengajian, mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka.

Manakala bagi guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah, sama-sama kita mendoakan semoga dosa-dosa mereka diampunkan dan roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah.

Negara Brunei Darussalam setiap tahun akan menyambut Hari Guru di mana ia merupakan satu pengiktirafan yang tinggi kepada guru di negara ini yang telah berjasa dan menabur bakti terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

Tema Sambutan Hari Guru 2019 ialah Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar. Guru adalah orang yang banyak berjasa dalam memberi ilmu pendidikan dan ilmu pengetahuan serta menjadikan penuntut orang-orang yang berilmu dan berjaya dalam kehidupan mereka.