Oleh Ravindran Raman Kutty
KUALA LUMPUR – Sekiranya pengutip sampah cuti sehari, kita mungkin tidak berapa bimbang tetapi sekiranya mereka terus tidak bekerja berterusan selama seminggu, kita pasti akan berasa cemas.
Di Malaysia, sebanyak lima hingga lapan kilogram sampah dikutip dari setiap rumah. Ini bermakna anggaran 150 kilogram hingga 200 kilogram sebulan, 1.5 tan setahun bagi setiap rumah!
Sebaik sahaja kita campak beg sampah, kita sudah tidak ambil kisah. Berapa ramai dalam kalangan kita yang mengambil berat tentang pengutipan sampah dan peranan pengutip sampah serta beban kerja mereka untuk memastikan persekitaran kita bersih?
Sekiranya industri pengurusan sampah menghentikan operasi selama sehari, terutamanya sewaktu cuti umum, kita akan dapati longgokan sampah termasuk di tepi jalan. Tong-tong sampah juga akan melimpah dengan sampah-sarap, lalat berterbangan dan bau busuk serta hanyir menusuk ke hidung! Semuanya ini menunjukkan betapa pentingnya pengutip sampah.
Kepentingan mereka ini membuatkan ada sambutan Hari Pengutip Sampah Sedunia yang diraikan pada 17 Jun lepas. Berapa ramai yang tahu tentang perkara ini? Saya tidak fikir ada yang meraikan sambutan ini dan memberi perhargaan kepada tukang sapu, pengutip sampah dan sesiapa pun yang melakukan kerja kotor ini yang kebanyakan kita tidak akan mahu membuatnya.

Setiap majlis perbandaran menyediakan peruntukan besar untuk jabatan pengutipan sampah, diikuti polis, bomba dan kesihatan. Kita ada Hari Polis, Hari Bomba dan Hari Jururawat untuk menghargai sumbangan mereka. Bagi saya kita juga perlu memberi penghargaan kepada pekerja pengurusan sisa.
Kita pernah membaca laporan bagaimana sampah berlonggokan di bandar-bandar. Ini biasanya berlaku apabila bandar itu dilanda bencana alam serta isu kemiskinan yang menjejaskan perjalanan perkhidmatan mengutip sampah. Terdapat laporan bagaimana teruknya longgokan sampah sehingga ada yang menjadikan sungai sebagai ‘tong sampah besar’ mereka, mengakibatkan pencemaran dan menjejaskan kesihatan masyarkat setempat.
Pada hari ini, pengutip sampai baik lelaki mahupun wanita begitu kreatif untuk menyelesaikan masalah pelupusan sampah. Amalan sistematik pekerja pengutipan sampah membolehkan usaha mengitar semula dan pemuliharaan dapat dijalankan dengan jayanya.
Segala sampah sarap dikumpul dan diasingkan mengikut jenis (seperti plastik, kertas, kaca, kayu dan logam) dan kemudiannya dimasukkan ke dalam sistem kitar semula.
Pekerja pengutipan sampah bukan sahaja berfikir cara untuk melupuskan sampah kita tetapi juga mencari jalan untuk mengguna semula apa yang dibuang. Usaha semakin dipergiatkan untuk pemuliharaan tenaga serta alam sekitar yang akan menjadikan persekitaran lebih bersih.
Tanpa pengutip sampah dalam kehidupan kita, banyak bandar mungkin akan mendapat jolokan bandar kotor. Dari sudut sejarah, penghapusan banyak penyakit adalah hasil daripada piawaian sanitasi awam yang lebih tinggi dan sistem pelupusan sampah yang cekap.
Dalam bercakap tentang peranan pengutip sampah, apakah kita pernah terfikir risiko serta bahaya yang mereka hadapi? Kita boleh lihat mereka bekerja di bawah terik matahari, kadang-kadang basah kuyup akibat hujan lebat di samping terdedah kepada semua sisa sampah yang kita buang. Sampah sarap kita termasuk sisa cat, barangan kaca yang pecah, ubat yang sudah tamat tempoh penggunaannya, lampin pakai buang yang kotor dengan najis, sisa toksik dan pelbagai lagi.
Pada kebanyakan masa, pengutip sampah tidak memakai sarung tangan, but atau sebarang peralatan keselamatan kerana perkara ini memang diabaikan langsung dalam industri pengurusan sisa. Perhatikan bila mereka bekerja sewaktu hujan. Menyedihkan untuk melihat mereka meredah hujan untuk mengutip sampah tanpa memakai baju hujan. Penyapu sampah adalah satu lagi kategori pekerja berisiko tinggi. Sedikit silap pemandu kenderaan boleh menyebabkan mereka menjadi mangsa kemalangan.


Pengutip sampah terdedah kepada pelbagai bahaya seperti berikut:
1. Bahan kimia dan biologikal yang berbahaya
Meskipun ada majlis perbandaran yang melaksanakan sistem tong sampah yang berasingan, pekerja perlu berhati-hati kerana masih ada orang yang tidak kisah tentang proses kitar semula dan apa yang boleh dikitar semula.
Antara risiko dihadapi pekerja mengutip sampah termasuk:
– Jarum hipodermik terpakai.
– Objek tajam seperti kaca pecah, paku, logam tajam dan serpihan kayu.
– Kimia perindustrian dan rumah kediaman termasuk minyak motor, termometer yang mengandungi raksa dan bateri.
– Bangkai haiwan seperti tupai, kucing dan anjing, yang masuk ke dalam tong sampah mencari makanan dan mati di dalamnya kerana tidak dapat keluar.
– Biobahaya, seperti sisa makanan yang mereput, lampin pakai buang yang mengandungi najis dan sisa air kencing, najis haiwan serta patogen yang boleh menyebabkan penyakit.
2. Jentera yang bergerak seperti mesin pengasingan, pemadat dan ‘conveyor belts’
Kebanyakan peralatan kitar semula dan pemadat memerlukan pembersihan dan kerja-kerja berkaitan selenggaraan untuk memastikan ia mampu berfungsi dengan cekap.
Sekiranya prosedur selenggaraan tidak dilaksanakan, pekerja berhadapan dengan risiko kemalangan, kemungkinan putus tangan atau kaki atau kecederaan yang boleh membawa maut. Banyak kemalangan seperti itu berlaku di Malaysia.
3. Bahaya pernafasan: habuk dan bahan cemar dalam udara
Bahan kitar semula boleh mencetuskan banyak habuk dan boleh menjejaskan kesihatan. Habuk boleh mengandungi partikel mikro, plastik, kaca serta bahan toksik seperti asbestos atau silika dan bahan lain yang boleh mengganggu sistem pernafasan. Pernahkah anda melihat pekerja sisa buangan memakai topeng muka?
4. Kedudukan yang janggal serta kecederaan akibat pergerakan yang berulang
Pekerja mengutip sisa dan kitar semula sering kali terpaksa memusingkan badan, melompat serta membongkok untuk menyisihkan barang di atas mesin ‘conveyor’ yang bergerak laju. Memandangkan mereka perlu melakukan kerja ini berulang-ulang, kemungkinan besar mereka boleh menderita kecederaan kepada tulang belakang, bahu, lutut dan jari.
Semua pemegang konsesi pengurusan sisa dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mesti memastikan keselamatan pekerja pengumpulan sisa (rakyat tempatan dan asing) dengan:
– Menjalankan penilaian bahaya. Mengenal pasti bahaya dan sekiranya bahaya tidak boleh dihapuskan, laksanakan prosedur kerja yang selamat dan menyediakan peralatan perlindungan yang sesuai dan tidak mengenakan sebarang kos ke atas pekerja.
– Menyediakan latihan kesihatan dan keselamatan untuk pekerja dalam bahasa yang mereka boleh faham.
– Menyediakan pelan kawalan untuk pekerja yang mengendalikan cecair badan termasuk darah.
– Menggantikan proses, bahagian atau peralatan yang boleh mengurangkan bunyi bising.
– Menghadkan jangka masa kerja syif yang berlarutan.
– Memastikan peralatan perlindungan disediakan untuk semua pekerja pengutipan sampah.
– Menyediakan kemudahan tandas, mencuci, mandi serta air minuman.
Setiap tahun pada 17 Jun, berilah ucapan penghargaan kepada pengutip sampah yang mungkin anda jumpa di rumah, di pejabat atau yang sedang bekerja di tepi jalan.
Beri mereka senyuman dan ucapkan terima kasih. Berikan air minuman dan makanan jika boleh. Tanpa mengira mereka pekerja tempatan atau asing, hargailah keringat mereka. Sekiranya anda sedang memandu, buka cermin tingkat dan ucapkan ‘Terima Kasih.’
Pengutip sampah jangan dilayan sebagai pekerja yang tidak berharga. Mereka ini sebenarnya banyak berjasa. Tangan mereka yang kotorlah menjadikan persekitaran rumah, kejiranan, bandar dan negara kita bersih.
Hargailah mereka dan anggap pekerjaan mereka juga banyak sumbangannya. Mereka bukan pekerja biasa tetapi pengutip sampah yang turut mempunyai harga diri.
Saya berharap kerajaan Pakatan Harapan akan memberi lebih perhatian kepada kumpulan pekerja ini yang sekian lama diabaikan kebajikan mereka.
Mulakan dengan 17 Jun 2019 untuk meraikan kumpulan ‘wira’ yang tidak didendang ini. – Bernama