Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Keluarga merupakan anugerah yang sangat berharga.
Dalam Islam, menghargai masa bersama keluarga dilihat sebagai ibadah kerana kita beroleh pahala dengan menghormati dan berbuat baik kepada keluarga.
Ini kerana kewajipan menjaga akidah dan amal soleh bukan hanya bagi diri sendiri tetapi juga untuk anggota keluarga terutama anak-anak agar sentiasa berada di jalan yang benar.
Perkara tersebut antara isi kandungan tazkirah Program Malam Munajat yang bertajuk Menghargai Masa Bersama Keluarga yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Rossne binti Abdul Rahman.
Program Malam Munajat anjuran KHEU kali ke-162, Khas untuk Wanita ke-19 malam tadi mengundang Yang Di-Pertua Persatuan Gerakan Ibu Tunggal (PGIT), Dayang Norliha binti Haji Awang Besar, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Majlis diikuti dengan bacaan Surah Ar-Rahman beramai-ramai dipimpin oleh Dayang Juhaida binti Haji Tahamit dari Dewan Fathul Busyra Sekolah Ugama Beribi. Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran Ugama, Pusat Bahasa, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dayang Norain binti Haji Awang Othman.
Selesai tazkirah, bacaan Selawat Syifa beramai-ramai dipimpin oleh Dayang Lelyta binti Mohd Jenin dari Dewan Fathul Busyra Sekolah Ugama Beribi.
Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Pelajaran dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dayang Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin.
Turut sama mengimarahkan acara malam tadi ialah ahli-ahli PGIT; ahli-ahli jawatankuasa takmir dan jemaah wanita dari beberapa buah masjid. Juga hadir ialah warga kerja wanita KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.