Saturday, November 16, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hargai nikmat keamanan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Keamanan adalah nikmat kurnia Allah SWT yang amat berharga dan dengan adanya keamanan, rakyat dapat hidup dengan selesa, tidak ada huru-hara dan kekacauan, manakala kemajuan pula dapat dijaga dan keselamatan dapat dirasa.

    Keamanan sangat penting dan berharga bagi sesebuah negara, yang mana kurnia keamanan dan keharmonian negara yang dinikmati itu perlu disyukuri dan dipertahankan oleh seluruh rakyat dan penduduk.

    Khatib menekankan perkara ini semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini, bertajuk ‘Menjaga dan Mempertahankan Keamanan Negara Tugas Mulia’.

    “Bersyukur atas segala nikmat kurniaan Allah SWT adalah dengan mematuhi dan melaksanakan semua perintahNya serta meninggalkan segala laranganNya,” jelas khatib.

    Di samping mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya, seseorang itu hendaklah juga mentaati perlembagaan undang-undang dan peraturan negara kerana perkara ini juga menyumbang kepada keamanan negara.

    “Janganlah menjadi orang yang tidak bersyukur dengan nikmat keamanan yang telah dikurniakan Allah SWT, kerana tanda orang yang tidak bersyukur ialah meninggalkan perintah Allah dalam kehidupan seharian,” tegasnya.

    Manakala tegahan syarak pula, jelas khatib, tidak segan silu dilakukan seperti meninggalkan sembahyang, tidak berpuasa, mendedahkan aurat, pergaulan bebas, zina dan bermacam-macam lagi.

    Sesungguhnya mengabaikan tuntutan agama akan menimbulkan pelbagai ancaman kepada keselamatan negara.

    Khatib seterusnya mengingatkan, bahawa runtuhnya tamadun umatnya terdahulu seperti kaum ‘Ad, Tsamud dan kaum Firaun adalah kerana kekufuran dan kefasikan mereka.

    Pentingnya keamanan dalam kehidupan, tegasnya, Nabi Ibrahim AS pernah berdoa ke hadrat Allah SWT ketika pembukaan Kota Mekah agar kota tersebut dikurniakan dengan keamanan dan kemakmuran.

    Khatib seterusnya menjelaskan, antara pihak yang bertanggungjawab menjaga dan mempertahankan keamanan negara ialah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-62, pada 31 Mei tahun ini.

    Sebagai rakyat dan penduduk yang bertanggungjawab, tambah khatib, sewajarnya sama-sama menghargai dan tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh seluruh ABDB bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjaga dan terpelihara.

    Katanya lagi, “Tugas tentera menjaga dan mempertahankan negara adalah amat mulia, dan ia bukan satu tugas yang mudah tetapi banyak risiko dan berat tanggungjawabnya.

    “Setiap anggota tentera yang menggalas dan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan penuh dedikasi, sangatlah disanjung tinggi dan dihormati,” tambahnya.

    Khatib dalam khutbahnya turut menjelaskan, apa yang lebih penting, tugas yang mereka pikul itu amat besar ganjarannya apatah lagi jika disertai dengan niat ikhlas kerana Allah SWT.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda