Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Tidak dapat dinafikan bahawa belia selaku aset penting negara memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara dan sebagai generasi penerus menerajui hala tuju negara pada masa hadapan.
Oleh itu, perbincangan mengenai penghayatan dan kefahaman generasi belia mengenai nilai kemerdekaan dari perspektif sejarah diketengahkan semasa Forum Bersama Belia sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei (PSB), kelmarin.
Hadir selaku tetamu khas semasa forum berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengetua, PSB, KKBS, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh; Yang Dipertua Majlis Belia Brunei (MBB), Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari, para pegawai dan kakitangan kerajaan, dekan-dekan, mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi.
Forum Bersama Belia berkenaan membawa tema, Menghargai Kemerdekaan Negara, di mana ia mengetengahkan tiga orang ahli panel iaitu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dayang Nur Qamelya binti Mohd Rafee; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Abdul Shafiq bin Roszani; dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Ahmad bin Haji Abas dengan forum dipengerusikan oleh Timbalan Yang Di-Pertua MBB, Dayang Nurul Izyan binti Anver.
Forum itu mengetengahkan perbincangan daripada ahli-ahli panel mengenai penghayatan dan kefahaman generasi belia terhadap nilai kemerdekaan dari perspektif sejarah dan aspirasi belia mengenai nilai kemerdekaan yang dikecap pada masa kini.
Forum juga diserikan dengan aktiviti Energizer yang merupakan acara tambahan berbentuk interaktif dengan menggunakan aplikasi Slido.
Program forum berkenaan dianjurkan oleh PSB, KKBS di mana ia merupakan program kerjasama yang melibatkan MBB selaku rakan strategik PSB dan juga Majlis Perwakilan Pelajar UBD, UNISSA dan KUPU SB.
