Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hargai pandangan kanak-kanak untuk masa depan negara

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Perutusan Sempena Hari Kanak-kanak Sedunia oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad, menekankan komitmen negara dalam menjamin hak, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak, selaras dengan tema tahun ini, Listen to the Future atau Dengarkan Suara Masa Depan.

    Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia (World Children’s Day; WCD) yang diraikan setiap 20 November sejak 1954, memasuki tahun ke-19 penyambutannya di Negara Brunei Darussalam. Tema tahun ini menegaskan kepentingan mendengar dan menghargai pandangan kanak-kanak sebagai suara yang mencerminkan hala tuju masa depan negara.

    Menurut perutusan tersebut, pelbagai strategi diteruskan bagi memperkukuhkan institusi keluarga, melindungi kanak-kanak dan memperkasa masyarakat secara holistik selaras dengan Wawasan Brunei 2035. Antaranya termasuk pelaksanaan Pelan Tindakan Kesejahteraan Kanak-kanak, Rangka Kerja Perlindungan Kanak-kanak Dalam Talian (2013) dan Rangka Kerja Perlindungan Kanak-kanak (2021).

    Di peringkat kebangsaan, statistik 2024 mencatatkan seramai 114,500 kanak-kanak dan orang muda berumur bawah 18 tahun, iaitu 25.14 peratus daripada jumlah penduduk. Negara terus menitikberatkan pendidikan, kesihatan, kebajikan dan keselamatan bagi memastikan kanak-kanak membesar dalam suasana sejahtera.

    Perutusan turut menekankan kepentingan tahun-tahun awal perkembangan kanak-kanak, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai pembentukan Kerangka Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-kanak Kebangsaan.

    Pelbagai program turut dilaksanakan dalam membimbing dan melindungi kanak-kanak menghadapi cabaran dunia digital, termasuk SDG Youth Camp, Garis Panduan Penggunaan Skrin Mengikut Umur, Pelan Tindakan Serantau ASEAN Penghapusan Keganasan terhadap Kanak-kanak (RPA on EVAC), Bengkel Perlindungan Kanak-kanak Dalam Talian oleh CyberSecurity Brunei, serta program kesedaran oleh Jabatan Pendidikan Islam.

    Acara kemuncak sambutan tahun ini ialah World Children’s Day Celebration anjuran Brunei Paediatric Society dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), yang akan berlangsung pada 23 November nanti di One City Shopping Complex.

    Perutusan berkenaan turut menyeru masyarakat agar mengambil berat penderitaan kanak-kanak di Palestin dan menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 yang dilanjutkan sehingga 18 April 2026.

    Mengakhiri perutusan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad mengucapkan Selamat Hari Kanak-Kanak Sedunia kepada semua kanak-kanak dan orang muda di Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi tekankan kepentingan mendengar suara kanak-kanak.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda