Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Usaha terus dilaksanakan untuk menggalakkan lebih ramai golongan belia menceburi bidang keusahawanan termasuk bidang pertanian.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mewujudkan Program Bantuan Keusahawanan dengan matlamat memberikan bantuan kewangan keusahawanan iaitu geran mikro kepada pengusaha-pengusaha belia di Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, Pusat Pembangunan Belia (PPB), KKBS telah menyediakan ruang inkubator bagi para belia menjalankan aktiviti keusahawanan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
Usaha itu membuahkan hasil apabila seorang pelatih lepasan Program Agrobiz Plus 2021 dan pemilik Syarikat Cahaya Agro, Awang Mohammad Wafiuddin bin Karim dengan perusahaan tanaman lada merah yang diusahakannya, dituai dalam Majlis Penuaian Hasil Tanaman Lada Merah Syarikat Cahaya Agro yang berlangsung di Inkubator Keusahawanan PPB, hari ini.
Hadir di acara berkenaan dan turut mengambil bahagian dalam acara menuai ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Lau How Teck.
Turut hadir, Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman, ketua-ketua kampung, rakan-rakan strategik PPB serta pegawai dan pelatih PPB.
Dalam ucapan alua-aluannya, Awang Mohammad Wafiuddin menyatakan bermula pada awal 2024, KKBS melalui PPB telah memberikannya tapak inkubator dengan keluasan 0.7 ekar di pusat berkenaan untuk memulakan penanaman lada secara fetigasi dengan bantuan kewangan keusahawanan sebanyak kira-kira $5,000.
Menerusi bantuan itu, syarikatnya berjaya menanam 2,000 pokok lada besar menggunakan sistem fertigasi dan hasil daripada penanaman musim ini, sebanyak 310 kilogram lada merah telah dituai dengan syarikatnya menyasarkan hasil tuaian lada merah untuk musim ini mencecah minimum 3 tan.
Beliau turut menyatakan harapan supaya lebih banyak kursus pertanian atau program meningkatkan kemahiran (upskilling) dapat dilaksanakan untuk melahirkan lebih ramai peladang belia di negara ini selain industri pertanian terus berkembang maju untuk melahirkan lebih ramai peladang muda yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Seterusnya, majlis menyaksikan Yang Berhormat Lau How Teck, Awang Haswandi serta pegawai dan pelatih PPB sama-sama mengambil bahagian dalam acara menuai hasil tanaman lada merah.
Menerusi Program Bantuan Keusahawanan, jumlah kewangan keusahawanan atau geran mikro yang disediakan adalah antara $2,000 hingga $5,000 di mana jumlah yang dihulurkan tertakluk kepada rancangan perniagaan yang berdaya maju dan mampan berasaskan penilaian Jawatankuasa Bantuan Kewangan Keusahawanan, KKBS.
Tempoh pemantauan bagi pe-ngusaha-pengusaha yang menerima bantuan adalah selama satu tahun yang mana mereka perlu mengongsikan perkembangan perusahaan mereka kepada pihak urus setia.
Acara itu dihasratkan untuk menghargai penglibatan lepasan pelatih PPB yang terus berusaha dalam bidang latihan yang diikuti mereka dan membarigakan usaha berterusan pihak kerajaan dan sektor swasta dalam membantu melahirkan usahawan belia dalam bidang pertanian dan perladangan.