Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Bersempena Sambutan Hari Air Sedunia 2018, Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Jabatan Perkhidmatan Air telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran, Tahlil dan Doa Arwah yang berlangsung di Masjid Ash-Shaliheen, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; pemangku ketua pengarah JKR, ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan dan pegawai di bawah Kementerian Pembangunan, pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Perkhidmatan Air dan juga orang ramai.


Terdahulu, majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Maghrib berjemaah disusuli dengan sembahyang sunat Hajat dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Arwah serta Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh imam Masjid Ash-Shaliheen sebelum diakhiri dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah.
Hari Air Sedunia disambut di negara ini sebagai cara untuk menumpukan perhatian mengenai kepentingan air dan menyokong dalam pengurusan sumber air yang mapan, di samping untuk memperbaiki dan mempertingkatkan lagi kesedaran mengenai sumber air dalam kegunaan harian.
Hari Air Sedunia tahun ini membawa tema ‘Nature for Water’ yang meneroka penggunaan alam semula jadi sebagai kaedah dalam menangani pelbagai masalah air dalam abad ini.