Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Antarabangsa OKU dirai

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    TUTONG, 29 NOV – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menganjurkan hari terbuka dan aktiviti sukan ria di Pusat Bahagia Daerah Tutong pada pagi ini bersempena dengan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) yang diraikan setiap tahun pada 3 Disember dengan temanya pada tahun ini ‘Bukan Semua Kelainan Upaya itu Nampak dari Mata Kasar’.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan Hari Terbuka Pusat Bahagia Daerah Tutong ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari; Setiausaha Tetap (Kebudayaan dan Kemasyarakatan), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; ketua-ketua jabatan; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Muhd Amirul Hadi bin Haji Muhd Tajuddin; serta pegawai-pegawai kerajaan dan persatuan badan-badan bukan kerajaan.

    Kira-kira 300 orang pelatih-pelatih OKU berserta dengan ibu bapa atau penjaga dari keempat-empat daerah telah menghadiri acara sukan ria tersebut.

    Acara dimulakan dengan majlis memotong reben dan pelepasan scroll banner oleh tetamu kehormat. Seterusnya sesi senamrobik bersama para jemputan dan pelatih-pelatih Pusat Bahagia yang diketuai oleh Awang Mohd Nazmi bin Johari dan diselajurkan dengan perasmian rumah hijau tapak semaian bunga yang ditaja oleh Golden Corporation Sdn Bhd.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menyertai acara terbuka dan aktiviti sukan bersama orang kelainan upaya (OKU) sempena Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) di Pusat Bahagia, Daerah Tutong kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa merasmikan Hari Terbuka Pusat Bahagia Daerah Tutong kelmarin.

    Selain itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa juga tidak ketinggalan dalam sama-sama memeriahkan lagi acara dengan menyertai beberapa permainan sukan ria.

    Di antara tujuan hari terbuka diadakan adalah memperingati HAOKU selaras dengan artikel 30 United Nation Convention of Rights for Persons with Disabilities (UNCRPD) untuk melibatkan OKU di dalam kehidupan berbudaya, rekreasi, masa lapang dan sukan. Ia juga merupakan peluang bagi Pusat Bahagia Tutong untuk memberigakan kepada orang ramai mengenai program-program yang terdapat di Pusat Bahagia Tutong.

    Di samping itu, hari terbuka ini juga dapat mengukuhkan hubungan Kerjasama Pusat Bahagia di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam serta rakan-rakan strategik yang sentiasa memberikan sokongan terhadap OKU di negara ini.

    Dalam masa yang sama juga membuka ruang hubu-ngan rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak lain serta keterlibatan OKU di kalangan masyarakat kerana mereka adalah sebahagian daripada masyarakat.

    Sambutan ini juga diharapkan dapat menggalakkan pelatih dan pelajar berkelainan upaya lebih aktif dalam apa jua jenis sukan untuk menjaga ke-sihatan serta kecergasan fizikal dan minda.

    Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pameran dan jualan hasil produk-produk Pusat Bahagia, jualan terbuka ibu bapa pelatih serta pertandingan kraf tangan dan lukisan pelatih Pusat Bahagia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda