Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Bakarih Yayasan 2025 dilancar

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah mengadakan Majlis Pelancaran Hari Bakarih Yayasan 2025 (HBY 2025) bertempat di Kompleks Yayasan hari ini.

    Majlis pelancaran HBY 2025 disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad, selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan.

    Seramai 21 orang Usahawan Bakarih Yayasan (UBY) yang akan mengusahakan pelbagai jenis perusahaan akan menyertai aktiviti jualan sepanjang HBY 2025.

    Tahun ini merupakan kali keempat HBY dianjurkan dan akan berlangsung selama dua minggu, bermula 14 hingga 30 November dari pukul 4 petang hingga 9 malam di Khemah Jualan HBY 2025, Kompleks Yayasan.

    Selain jualan, pelbagai aktiviti turut disediakan seperti fun fair, Kuiz Kenali Negara Kitani (KNK), fitness challenge, face painting, henna painting, peraduan mewarna, kempen derma darah, Matcha & Handicraft Workshop, persembahan muzik, pameran reptilia dan haiwan peliharaan serta permainan tradisional ‘Bamukun’.

    Sebahagian pendapatan daripada acara fun fair dan bengkel akan disumbangkan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA).

    HBY merupakan platform perniagaan bagi memperkenalkan produk-produk keluaran Usahawan Bakarih Yayasan, iaitu pengusaha yang lahir melalui program bantuan modal perusahaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan.

    Penganjuran HBY merupakan inisiatif Yayasan bagi menyediakan ruang strategik sebagai sokongan kepada para pengusaha tempatan khususnya UBY dalam mengukuhkan portfolio perniagaan dan meluaskan rangkaian pemasaran produk mereka.

    Orang ramai dialu-alukan untuk hadir memeriahkan acara dan menyokong para pengusaha tempatan berpaksikan semangat ‘Mau Bakarih, Sanggup Bajarih Untuk Balurih.’

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi mengunjungi salah satu petak peniaga semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai semasa Majlis Pelancaran Hari Bakarih Yayasan 2025, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda