Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Hari Bakarih Yayasan buka tirai

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Seramai 20 orang Usahawan Bakarih Yayasan yang mengusahakan pelbagai perusahaan menyertai aktiviti jualan Hari Bakarih Yayasan yang berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di sini, bermula hari ini.

    Pelancaran acara anjuran Yayasan itu telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan.

    Berlangsung sehingga 31 Disember depan, acara pada tahun ini merupakan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan agensi-agensi berkepentingan yang lain sebagai pendekatan seluruh negara.

    Hari Bakarih Yayasan merupakan platform perniagaan bagi mengenalkan produk-produk yang dihasilkan oleh para Usahawan Bakarih Yayasan iaitu para pengusaha yang dilahirkan melalui program bantuan modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan.

    Ia dianjurkan sebagai inisiatif Yayasan bagi menyediakan ruang strategik untuk sokongan kepada para pengusaha tempatan dalam mengukuhkan portfolio perniagaan dan meluaskan rangkaian pemasaran produk mereka.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi memotong reben bagi merasmikan acara anjuran Yayasan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara orang ramai yang hadir bagi memeriahkan lagi acara berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Acara tersebut turut disertai oleh agensi-agensi yang merupakan rakan strategik Yayasan iaitu BIBD SEED, Konsortium Muallafpreneurs dan PROPAZ.

    Beberapa usahawan yang dilahirkan melalui program-program tersebut juga turut menyertai aktiviti jualan.

    Acara pada kali ini juga sempena menyambut Hari Keluarga Kebangsaan yang bertemakan Keluargaku, Harapanku bagi memfokuskan kepada nilai-nilai kekeluargaan Brunei iaitu sayang-menyayangi, bertanggungjawab, hormat-menghormati dan pemedulian dengan tujuan untuk mengukuhkan nilai teras kekeluargaan dalam konteks Negara Brunei Darussalam.

    Salah satu tarikan acara adalah Klinik Keusahawanan bagi memberikan kemudahan kepada pihak awam terutamanya usahawan-usahawan dan ahli perniagaan untuk mendapatkan maklumat dan bimbingan mengenai keusahawanan dan hala tuju perniagaan dan perusahaan.

    Antara agensi yang terlibat memberikan perkhidmatan percuma dalam klinik tersebut adalah LiveWIRE Brunei, Darussalam Enterprise (DARe), BIBD 360, Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

    Selain itu, pelbagai aktiviti menarik juga disediakan seperti fun fair, e-sukan, kempen derma darah, memanah, peraduan mewarna dan bermacam-macam lagi.

    Sebahagian daripada pendapatan aktiviti-aktiviti yang diadakan akan disumbangkan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) sempena Sambutan Penubuhan DANA ke-25 Tahun.

    Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan hadir dan datang memeriahkan Hari Bakarih Yayasan bagi menyokong pengusaha-pengusaha tempatan daripada kalangan golongan sasar Yayasan yang mau bakarih, sanggup bajarih untuk balurih.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...