BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Belia dan organisasi di negara ini meraikan Hari Bertindak Global bagi menandakan ulang tahun ketiga Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs) di mana para pemimpin dunia mengguna pakai 17 matlamat untuk mengakhiri kemiskinan, melindungi bumi dan memastikan semua orang menikmati keamanan dan kemakmuran menjelang 2030.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Bangunan Suasa, Kampung Kiarong itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad yang menekankan bahawa golongan muda membentuk 44 peratus daripada keseluruhan penduduk dan aset penting untuk negara ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Sempena majlis berkenaan, para belia telah mempamerkan hasil-hasil ASEAN MY World 2030 yang menunjukkan enam matlamat global yang menuntut orang-orang di Brunei untuk bertindak, di mana matlamat ketiga (kesihatan dan kesejahteraan) adalah keutamaan tertinggi diikuti dengan matlamat keempat (pendidikan) dan matlamat kelapan (pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang sejajar dengan wawasan 2035).
Pameran itu juga mengetengahkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Reef Check Brunei yang secara aktif menyumbang kepada pencapaian matlamat ke-14 (kehidupan di dalam air).
Selain itu, forum bertajuk ‘Belia: Pemacu SDGs’ juga diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan memberi kuasa kepada pemimpin muda mengenai cara melaksanakan matlamat sejagat melalui perbincangan panel antara wakil NGO dan perusahaan sosial.
My Action For SDGs adalah kempen yang diketuai oleh Advokat ASEAN MY World 2030, Dayang Nurul Hadina binti Haji Alias yang dilantik oleh Kempen Tindakan SDG Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada bulan Jun 2018 untuk meningkatkan kesedaran tentang Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan Agenda untuk Pembangunan Mapan 2030.