Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya membaca dalam kalangan warga sekolah dan meningkatkan lagi mutu literasi dalam kalangan murid-murid dan pelajar-pelajar sekolah serta komuniti sekolah, Pusat Tingkatan Enam Meragang (PTEM) dengan kerjasama Kumpulan Sumber Sekolah 2 telah mengadakan Majlis Sambutan dan Pelancaran Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2017 yang berlangsung di PTEM, hari ini.
Dengan membawa tema ‘Buku Itu Ilmu’, majlis sambutan berkenaan dirasmikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Haji Zulkifli bin Haji Muhammad Yusuf.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah dan Ketua Unit Sumber Sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Zakaria bin Haji Duraman, guru-guru besar, pengetua-pengetua, guru-guru, jemputan khas dan para pelajar PTEM.
Pengetua PTEM, Pengiran Hajah Maimunah binti Pengiran Haji Osman dalam kata alu-aluannya menyeru para pelajar untuk membudayakan tabiat membaca iaitu menjadikan amalan membaca sebagai suatu cara hidup yang tiada penghujungnya serta suatu proses pembelajaran sepanjang hayat.
“Golongan masyarakat yang rajin membaca meletakkan diri mereka pada satu martabat yang jauh lebih tinggi berbanding dengan golongan yang malas membaca. Mereka inilah yang akan menjadi sumber rujukan untuk golongan yang cintakan ilmu dan kemajuan.”
Pengiran Hajah Maimunah turut menyentuh mengenai sikap segelintir pelajar yang hanya membaca sekadar untuk menghadapi ujian atau peperiksaan di mana selepas menghadapi ujian atau peperiksaan, mereka tidak lagi menyentuh buku-buku atau sebarang bahan bacaan berco-rak ilmiah.


“Senario ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menjadikan amalan membaca sebagai suatu budaya atau suatu proses kelangsungan pembelajaran. Kegagalan membudayakan amalan membaca inilah yang menyebabkan masyarakat dan negara kita akan terus ketinggalan,” tekannya.
Majlis diteruskan dengan Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris PTEM yang mengetengahkan seramai 10 orang peserta dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang dianjurkan bersempena acara sambutan oleh Haji Zulkifli.
Juara disandang oleh Dayangku Nurizzati Nabihah binti Pengiran Metusin, manakala itu, tempat kedua dimenangi oleh Awang Muhammad Amirul Adli bin Haji Samsuddin dan tempat ketiga ialah Awangku Muhammad Khairul Izzat bin Pengiran Harun Amir Rashid.
Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi Pertandingan Mengeja untuk Sekolah Rendah, Pertandingan Book Review untuk Sekolah Menengah, Pertandingan Poster Buku untuk PTEM dan Pertandingan Scrabble Master untuk PTEM.