Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Buku Sedunia diraikan dengan pelbagai budaya

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Dengan mengetengahkan tema, Budaya di Seluruh Dunia, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Serasa (SMPIHM) memakai pakaian kebudayaan pelbagai negara semasa Sambutan Hari Buku Sedunia 2024 yang diadakan di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

    Menerusi pemakaian pelbagai pakaian budaya dari pelbagai negara berkenaan, ia bukan sahaja dihasratkan untuk memeriahkan lagi sambutan, tetapi juga bagi meningkatkan kesedaran kepelbagaian global dan terlibat dalam aktiviti yang mendalami penghargaan kebudayaan.

    Majlis menyaksikan kehadiran Dr Andree Asmara bin Haji Abidin yang mewakili Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan selaku tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah Ketua Persatuan Persahabatan Brunei Jepun, Lew Yan Yan @ Vanessa dan Pengerusi PIBG SMPIHM Serasa, Awang Muhammad Amirol Bakry bin Haji Ibrahim.

    Salah satu tarikan semasa acara berkenaan adalah penyertaan daripada Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam yang memberikan penerangan kepada pelajar mengenai peluang-peluang biasiswa yang ditawarkan di Jepun.

    Tetamu-tetamu khas bergambar ramai semasa sambutan tersebut. – GAMBAR SERAHAN SMPIHM
    Para pelajar memakai pakaian kebudayaan daripada pelbagai negara bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Buku Sedunia 2024 yang membawa tema, Budaya di Seluruh Dunia. – GAMBAR SERAHAN SMPIHM
    GAMBAR SERAHAN SMPIHM

    Inisiatif itu dihasratkan untuk mempromosikan pertukaran kebudayaan dan menggalakkan para pelajar bagi menimbangkan prospek pendidikan di luar negara.

    Wakil-wakil kedutaan memberikan butiran komprehensif mengenai pelbagai program biasiswa yang ditawarkan, proses permohonan dan pengalaman mengayakan yang menanti para pelajar di Jepun.

    Acara sambutan juga mengetengahkan warisan kebudayaan kaya Brunei dengan penganjuran permainan tradisional seperti sepak takraw dan congkak di mana ia menawarkan para pengunjung pengalaman interaktif tradisi tempatan.

    Pada masa yang sama, Persatuan Persahabatan Brunei Jepun (BJFA) memperkenalkan kepada para pelajar permainan menarik Jepun seperti Fukuwarai, AIUEO dan Kendama dengan matlamat untuk memupuk semangat pertukaran budaya dan pembelajaran yang menyeronokkan.

    Aktiviti-aktiviti berkenaan mewujudkan pengalaman budaya global dan tempatan, menggalakkan pelajar untuk menerima kepelbagaian dan meneroka lingkungan baharu melalui pendidikan dan bermain.

    Majlis sambutan diakhiri dengan penyampaian anugerah yang memberikan pengiktirafan kepada pakaian dan rekaan penanda buku terbaik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda