Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 12 MAC – Pelajar Sekolah St James dari peringkat tadika hingga menengah berpeluang memperagakan watak buku cerita kegemaran mereka semasa acara Hari Buku pada 9 Mac lalu.
Dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Inggeris, acara itu bertujuan untuk memberikan inspirasi dan menggalakkan pelajar sekolah meningkatkan literasi mereka dengan membaca buku daripada genre dan zaman yang berbeza.
Di samping itu, ibu bapa dan penjaga turut dijemput bagi menyaksikan acara yang bertujuan untuk mempamerkan perkembangan anak-anak mereka di sekolah serta memberikan semangat kepada mereka semasa pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang majlis tersebut.
Dalam ucapan pembukaannya, Ketua Jabatan Inggeris, Leonardo M Amo berkongsi buku kegemarannya iaitu The Little Prince yang ditulis oleh Antoine de Saint Exupery yang terkenal.
“Buku ini boleh mengajar kita tentang cara menghormati orang yang lebih tua, menghargai persahabatan, mematuhi pihak berkuasa, memberikan amaran kepada kita tentang kesan penangguhan dan banyak lagi. Saya menggalakkan semua orang membacanya,” tambahnya.
Selaras dengan tema acara, Read a Book, and Go Beyond It, pelajar dapat mempamerkan rasa cinta mereka terhadap watak buku cerita dengan perarakan pakaian pada permulaan acara.
Ini diikuti dengan beberapa persembahan yang diketuai oleh pelajar sekolah, yang diadaptasi daripada pelbagai cerita dalam buku dan dihidupkan melalui persembahan pelajar.
Pihak sekolah berharap Hari Buku dapat membantu murid mengembangkan kemahiran literasi serta sahsiah mereka selaras dengan visi dan misi sekolah.


