Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai peranan dan mendedahkan kerjaya ahli farmasi, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Lembaga Farmasi Brunei Darussalam serta agensi-agensi lain yang berkaitan farmasi mengadakan Hari Farmasi 2018 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Acara yang diadakan bersempena Hari Ahli Farmasi Sedunia yang disambut pada setiap tahun pada 25 September itu, juga diadakan bagi memeriahkan lagi Program Bandarku Ceria di mana acara pameran dan permainan diadakan bermula pukul 7 pagi hingga 10 pagi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan pada majlis berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Pengiran Haji Khalifah bin Pengiran Ismail.
Acara turut menyaksikan acara pameran farmasi, permainan interaktif, kuiz farmasi, gerai foto dan cabutan tiket bertuah yang dibukakan penyertaan kepada orang ramai yang berkunjung ke taman berkenaan.
Semasa acara itu, orang ramai yang berkunjung berpeluang untuk berbual dengan pihak farmasi untuk mendapatkan nasihat mengenai perkara atau kebimbangan yang berhubungan dengan ubat-ubatan, ubat-ubatan tradisional, kosmetik, perkhidmatan farmasi serta peraturan farmasi mengenai produk penjagaan kesihatan dan kerjaya farmasi.
Orang ramai juga berpeluang berinteraksi dengan wakil-wakil dari Universiti Brunei Darussalam dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) untuk mengetahui dengan lebih dekat mengenai kursus ijazah Sarjana Muda Farmasi dan kursus Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal dalam Juruteknik Farmasi yang ditawarkan oleh institusi berkenaan.
Hari Ahli Farmasi Sedunia diraikan di seluruh dunia untuk memberikan penghargaan kepada kerjaya farmasi dan menyerlahkan kepada orang ramai impak dan nilai kerjaya farmasi dalam peranannya untuk meningkatkan kesihatan orang ramai selain bekerjasama dengan profesional penjagaan kesihatan, sektor awam, sektor swasta dan orang ramai.
Hari Ahli Farmasi Sedunia 2018 membawa tema, ‘Ahli Farmasi: Pakar Ubat Awda’. Dalam hubungan itu, Hari Farmasi 2018 dihasratkan untuk mengukuhkan kerjasama antara pihak farmasi dengan masyarakat umum, meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai ubat-ubatan tradisional, suplemen kesihatan dan kosmetik, menyebarluaskan perkhidmatan farmasi serta meraikan dan mempromosikan kerjaya farmasi.
