BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Sekolah Menengah Sayyidina Husain baru-baru ini mengadakan Sambutan Hari Guru 2025 yang dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Awang Ali Nordi bin Haji Mohd Shaipon, selaku Ketua Unit Kesejahteraan dan Perkembangan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Sukaimi bin Haji Serudin, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta doa selamat.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Awang Abdul Basith Khan bin Dato Paduka Haji Jemat, yang menzahirkan penghargaan kepada para guru atas pengorbanan dan dedikasi mereka dalam mendidik serta membimbing para pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum.
Acara kemuncak menyaksikan penyampaian cenderahati kenangan kepada pihak sekolah, pengetua serta para timbalan pengetua. Tetamu kehormat seterusnya turut menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan warga sekolah.
Majlis turut diserikan dengan persembahan koir lagu Guru Oh Guru, deklamasi sajak dan ucapan Hari Guru daripada wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Acara diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan sesi ramah mesra antara tetamu kehormat, warga guru, ibu bapa serta pelajar sekolah berkenaan.
Sambutan Hari Guru kali ini membawa tema Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi, yang menekankan peranan guru dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Menurut kenyataan penganjur, majlis tersebut adalah salah satu usaha PIBG bagi menghargai jasa guru yang telah banyak berkorban demi memastikan kecemerlangan para penuntut bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga kokurikulum.




