Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Fakulti Teknologi Islam (FTI) telah menganjurkan Hari Inovasi UNISSA 2025 yang meraikan kreativiti, teknologi dan inovasi berpaksikan nilai-nilai Islam hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat adalah Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri Radin Basiuni dan seterusnya merasmikan Hari Inovasi UNISSA 2025 di universiti berkenaan.
Pemangku Dekan Fakulti Teknologi, UNISSA Dr Dayang Hajah Tiawa binti Awang Haji Hamid dalam ucapan alu-aluannya antara lain menggariskan, penghargaan kepada pengurusan tertinggi UNISSA atas sokongan berterusan terhadap pembangunan inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga universiti.
“Inovasi bukan sekadar teknologi terkini. Ia adalah tentang menyelesaikan masalah sebenar, berfikir secara kreatif dan berpandukan nilai serta tanggungjawab sebagai seorang Muslim,” jelasnya.
Turut hadir, Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan pemangku timbalan rektor, penolong-penolong Rektor, pegawai-pegawai utama serta warga akademik UNISSA.
Acara tersebut turut menampilkan ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi A2Tech Sdn. Bhd, Muhamad Hazwan yang berkongsi pandangannya berkenaan teknologi robotik dan kecerdasan buatan semasa menjalankan penyelidikan PhD yang telah menghasilkan penerbitan berimpak tinggi di peringkat antarabangsa dan menghasilkan produk teknologi yang berpotensi tinggi hingga ke tahap perkomersialan melalui penubuhan syarikat spin-off di bawah Universiti Teknologi Malaysia (UTM),.
Melalui kepakaran dan usaha gigih, beliau juga berjaya meraih pelbagai geran penyelidikan daripada agensi kerajaan dan swasta, khusus dalam bidang pembangunan teknologi robotik dan AI.
Ucaptama beliau turut memberi fokus kepada potensi penyelidikan dan aplikasi teknologi dalam bidang Internet of Things (IoT) dan biodiversiti dalam menyokong pembangunan mampan serta penyelesaian inovatif untuk cabaran alam sekitar masa kini sekali gus memberikan inspirasi dan pendedahan kepada para pelajar UNISSA, khususnya pelajar Fakulti Teknologi Islam (FTI).
Projek-projek inovatif hasil penyelidikan pelajar dan pensyarah FTI, yang menggabungkan ajaran Islam dengan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, dan media digital selain sumbangan tokoh-tokoh ilmuwan Islam terdahulu seperti Al-Khawarizmi, Al-Jazari, Ibn Sina, Al-Kindi, dan Al-Farabi, yang menjadi asas kepada teknologi hari ini turut dipamerkan.
Acara tersebut turut menjemput beberapa syarikat daripada industri seperti Brunei Cybersecurity Association (BCSA), Brunei Innovation Lab dan Pusat Inovasi Usahawan (EIC) dan turut ditambah dengan penyampaian Industrial Talk dari Presiden BCSA, Mohammad Azad Zaki Haji Mohd Tahir.
Acara berkenaan merupakan bukti komitmen UNISSA dalam melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran masa depan, serta berinovasi dengan etika dan berpandukan nilai-nilai Islam.
