Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam mengadakan majlis resepsi untuk menyambut Hari Kebangsaan Kerajaan Arab Saudi ke-94 di Tarindak D’Polo, Jerudong kelmarin.
Hadir bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Isteri, Datin Hajah Nahriah binti Haji Hasbi.
Mengalu-alukan ketibaan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ke majlis itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak kerajaan Arab Saudi ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al-Buraithin.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Arab Saudi diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Ahmad Mufriz Azzawani bin Haji Mohd Zainul Ariffin Lubis.
Kemudian majlis diteruskan dengan tayangan video yang mempamerkan Program Haji dan Umrah: The Pilgrim Experience Program of the Programs Through Which Saudi Arabia plans to actualize Saudi Vision 2030, Program Inisiatif Hijau, Ekspo Riyadh 2030 dan Saudi 2034-Saudi Arabia Fifa World Cup 2034.
Majlis disusuli dengan penyerahan cenderamata yang disempurnakan oleh TYT Mohammed Abdullah Al-Buraithin kepada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin.