Oleh Sim Y. H
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Sebagai usaha untuk mengetengahkan, mengeratkan silaturahim dan memperkenalkan lagi budaya antarabangsa di kalangan pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD), Hari Kebudayaan Antarabangsa 2025 telah diadakan di UBD Start-up Centre, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.
Acara berkenaan diusahakan oleh Ketua Eksekutif Hal Ehwal Antarabangsa dan Duta Pelajar (EIASA), Dayang Amni Syazwani binti Ahmad Hanafi bersama penganjur bersama Ketua Eksekutif Kesenian dan Budaya (EAC), Awang Mohamad Faiz bin Haji Ariffin.
Acara itu turut disokong oleh Eksekutif Keusahawanan (ENTRE), Eksekutif Residential College Organization (RESCO) dan Eksekutif Logistik (ELOG).
Hadir untuk menyempurnakan acara berkenaan ialah Timbalan Dekan (Pembangunan dan Kehidupan Pelajar) UBD, Dr Haji Rozaiman bin Makmun.
Dalam ucapan alu-aluanya, Dayang Amni Syazwani menyatakan bahawa program diadakan selama dua hari dengan hari pertama menampilkan Forum Kebudayaan yang membawa tema Globalisasi dan Pertukaran Kebudayaan yang dipimpin oleh seorang moderator daripada kalangan pelajar India dengan dua ahli panel iaitu Hirusha dari Sri Lanka dan Abdul dari Nigeria.
Selain itu, Pameran Negara juga diadakan di mana pelajar antarabangsa dari seluruh dunia memperkenalkan budaya negara masing-masing. Beliau turut menyatakan bahawa pelbagai bengkel kebudayaan diadakan pada 31 Januari termasuk silat, tarian tradisional Brunei dan pemakaian yukata.
Dayang Amni Syazwani menyatakan bahawa melalui acara pertukaran kebudayaan sedemikian, kekayaan perbezaan boleh memberikan ahli komuniti global menjadi lebih kuat, lebih saling berhubung dan lebih berdaya tahan. Selain itu, tambah beliau, acara berkenaan boleh mewujudkan suasana kampus yang lebih harmoni, bersatu dan inklusif di mana semua budaya diraikan dan setiap suara dapat didengari.
Acara berkenaan adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersama khusus SDG 4 iaitu pendidikan berkualiti dan SDG 10 iaitu mengurangkan ketidaksamarataan dengan mempromosikan pendidikan mengenai kepelbagaian budaya dan memperkuatkan hubungan antara pelajar dari pelbagai latar belakang.
Semua di atas: Antara persembahan dan pameran yang menyerikan lagi Hari Kebudayaan Antarabangsa 2025.