Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Keluarga PBMP promosi budaya kesejahteraan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Dengan mengetengahkan tema, Stronger Together – One Team.One Family, Hari Keluarga PBMP menekankan kepada warga kakitangan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) bahawa kejayaan hanya boleh dicapai apabila mereka bersatu, saling mempercayai dan saling menyokong antara satu sama lain.

    Ia juga membawa maksud PBMP bukan semata-mata tempat kerja sahaja tetapi ia juga merupakan tempat di mana mereka saling menjaga, saling menghormati dan saling mengangkat moral masing-masing, dibantu oleh sokongan ahli keluarga masing-masing.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Eksekutif PBMP, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya semasa Hari Keluarga PBMP yang berlangsung di Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Tema acara berkenaan mencerminkan nilai-nilai teras PBMP bahawa perpaduan pasukan yang mantap dan sokongan keluarga yang teguh merupakan tonggak asas untuk mencapai daya tahan organisasi secara keseluruhan serta kejayaan yang berterusan.

    Majlis diteruskan dengan sesi zumba dan penyertaan mereka yang hadir dalam pelbagai aktiviti yang direka bagi segenap lapisan usia dengan tujuan memupuk semangat berpasukan.

    Kapten (B) Zil Husam bergambar ramai dengan warga PBMP dan keluarga mereka pada Hari Keluarga PBMP, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Warga PBMP bersama keluarga mereka mengambil bahagian dalam acara zumba sempena Hari Keluarga PBMP. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Aktiviti yang diadakan termasuk Kejohanan Sukan Berpasukan, yang menampilkan aktiviti kompetitif bertujuan memperkukuh kerjasama antara jabatan dan semangat berpasukan; Permainan Keseronokan Kanak-kanak, permainan interaktif dan zon yang ditetapkan untuk memastikan keseronokan dan penyertaan maksimum untuk kanak-kanak; Aktiviti Keluarga, yang terdiri daripada aktiviti berkumpulan yang bertumpu pada peningkatan ikatan keluarga dan sokongan bersama serta Aktiviti Kesihatan dan Kesejahteraan, menyediakan stesen khusus yang menampilkan pemeriksaan kesihatan dan gerai maklumat yang bertumpu pada promosi kesejahteraan fizikal dan mental yang optimum dalam kalangan kakitangan dan keluarga mereka.

    PBMP sentiasa mempromosikan budaya kesejahteraan yang melangkaui tempat kerja, termasuk inisiatif tetap yang bertumpu pada keseimbangan kerja-kehidupan, sokongan kesihatan mental serta program kecergasan fizikal sepanjang tahun.

    Kejayaan Hari Keluarga berkenaan menekankan dedikasi PBMP untuk membina tenaga kerja yang berdaya tahan, sihat dan erat serta memastikan pekerja dilengkapi untuk memberikan yang terbaik secara profesional dan peribadi.

    PBMP menyatakan harapan acara itu dapat diteruskan sebagai tradisi dan mengembangkan jangkauan kesejahteraannya pada tahun hadapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda