Oleh Salawati Haji Yahya
TUTONG, 17 NOV – Dalam usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan, memperkukuhkan lagi ikatan ukhuwah sesama ahli takmir, kumpulan muslimah, belia dan para jemaah masjid, Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT), kelmarin telah mengadakan sambutan Hari Keluarga MHBPT bagi tahun 2025 di masjid berkenaan.
Acara yang dianjurkan oleh pihak masjid dan dilaksanakan oleh Kumpulan Belia Ibadurrahman itu bermula selepas solat Subuh berjemaah dan diteruskan dengan pelbagai aktiviti sehingga majlis berakhir.
Penganjuran sambutan kali ini diadakan bersempena ulang tahun ke-59 pembukaan MHBPT, yang antara lain bertujuan untuk memupuk nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program, antaranya Tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur bin Mohamad Ali bertajuk Rasulullah Tauladan Kehidupan Keluarga Kitani, bagi menyuntik pengisian rohani dalam kehidupan bermasyarakat.
Turut diadakan aktiviti senaman ringan bagi menyokong gaya hidup sihat serta meningkatkan kecergasan fizikal.
Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif bagi golongan kanak-kanak, dewasa dan warga emas bagi memeriahkan sambutan ini, termasuk pertandingan mesra secara berkumpulan dan individu bagi memupuk kerjasama serta mengeratkan lagi silaturahim antara para peserta.
Pengelolaan program ini membuktikan komitmen Kumpulan Belia Ibadurrahman dalam menyokong peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah, selain mempamerkan keupayaan belia dalam menganjurkan program bermanfaat yang merangkumi aspek kerohanian, sosial dan kesihatan.
Dengan adanya program seumpama ini, ia diharap akan terus dilaksanakan pada masa akan datang bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan segenap lapisan masyarakat serta memupuk kesejahteraan komuniti MHBPT.




