Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Keputeraan lambang kasih rakyat kepada Baginda Sultan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN 12 OKT- Majlis Ramah Mesra sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Padang Haji Sir Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, hari ini sekali lagi menyerlahkan semangat perpaduan dan kecintaan rakyat terhadap pemimpin berdaulat yang dikasihi.

    Dalam temu bual bersama Pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD) Dr. Najib Noorashid, beliau menzahirkan rasa syukur, bangga dan gembira kerana berpeluang hadir bersama rakyat bagi meraikan majlis penuh bermakna itu yang saban tahun dinanti-nantikan oleh seluruh lapisan masyarakat.

     “Sebagai rakyat Brunei, saya yakin bukan saya sahaja tetapi seluruh rakyat yang hadir berasa amat bersyukur dan gembira kerana dapat bersama-sama meraikan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang kita kasihi. Sudah pasti acara seperti ini menjadi lambang perpaduan dan tanda kasih sayang rakyat terhadap Baginda Sultan,” ujar beliau.

    Menurut beliau, sambutan Hari Keputeraan bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi wadah rakyat menzahirkan penghargaan atas jasa dan kepimpinan Baginda Sultan, khususnya dalam mentadbir negara dengan penuh kebijaksanaan, keadilan dan keprihatinan terhadap rakyat.

    “Bagi saya, kesempatan untuk berjumpa dan menatap wajah Baginda Sultan dengan lebih dekat semasa majlis bercemar duli merupakan pengalaman amat berharga dan sukar dilupakan,” jelasnya.

    Beliau turut menegaskan bahawa nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB) sentiasa dizahirkan dalam setiap sambutan Hari Keputeraan, sama ada melalui aktiviti keagamaan, adat istiadat mahupun persembahan kebudayaan yang mencerminkan warisan bangsa dan perpaduan rakyat.

    Pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD)Dr. Najib Noorashid. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

     “Kita dapat melihat bagaimana setiap aktiviti dalam sambutan ini mencerminkan nilai-nilai MIB yang menjadi tunjang negara, daripada bacaan doa, adat istiadat hingga persembahan budaya. Semua ini melambangkan keharmonian dan semangat taat setia rakyat terhadap Baginda Sultan,” katanya.

    Dr. Najib turut menzahirkan doa agar Baginda Sultan, Baginda Raja Isteri serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan keberkatan yang berpanjangan, serta meneruskan pemerintahan dengan penuh keadilan dan kebijaksanaan di bawah lindungan Allah SWT.

     “Dengan kepimpinan Baginda Sultan, negara kita terus menikmati kemajuan, kedamaian dan kestabilan yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat. Semoga generasi muda akan terus menghargai dan memelihara nikmat ini demi masa depan negara yang lebih padu dan makmur,” tambah beliau.

    Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat agar terus bersatu dan mengekalkan semangat kesetiaan kepada raja dan negara, serta menjadikan sambutan Hari Keputeraan sebagai dorongan untuk memperkukuh perpaduan nasional.

    “Hari Keputeraan bukan hanya sekadar sambutan tahunan, tetapi simbol kesyukuran rakyat atas keamanan, kemakmuran dan kepimpinan Baginda Sultan yang berwawasan. Semoga semangat ini terus hidup dalam jiwa setiap rakyat Brunei Darussalam,” ujar beliau mengakhiri temu bual.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda