Tuesday, July 22, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Kerjaya IBTE tambah pendedahan industri kepada pelajar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) menganjurkan Hari Kerjaya Automotif 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kampus Mekanikal IBTE hari ini.

    Acara berkenaan dirasmikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab, merangkap Pengarah Pendidikan Teknikal. Turut hadir ialah wakil-wakil industri, para pensyarah dan pelajar dari pelbagai kampus IBTE.

    Dr Suhaimi hadir selaku tetamu kehormat ke acara berkenaan.

    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi acara, Cikgu Armi Durani bin Haji Durhman, Pengetua IBTE Pusat dan diikuti dengan pelancaran rasmi oleh tetamu kehormat.

    Tetamu kehormat menjayakan pelancaran rasmi acara berkenaan.

    Menurut Cikgu Armi, penganjuran Hari Kerjaya Automotif ini merupakan satu inisiatif penting bagi meningkatkan kesedaran pelajar terhadap industri automotif tempatan dan para pemegang taruhnya.

    “Melalui acara ini, kami berharap hubungan antara IBTE dan pihak industri automotif dapat diperkukuhkan lagi, sekali gus membuka ruang kepada kolaborasi yang lebih bermakna di masa hadapan,” jelas beliau.

    Cikgu Armi menyampaikan ucapan.

    Beliau turut menekankan kepentingan pendedahan awal kepada pelajar, terutama mereka yang baru memulakan pengajian dalam bidang automotif. Ini berikutan hasil Tinjauan Pengambilan Pekerja Graduan IBTE 2023, yang menunjukkan hanya 30 graduan HNTec bekerja dalam bidang berkaitan. Angka berkenaan merosot menjadi hanya sembilan orang pada tahun 2024.

    “Angka ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran kerjaya dalam kalangan pelajar,” tambah beliau.

    Atas & Bawah: Antara yang hadir ke acara berkenaan.

    Menurutnya lagi, acara berkenaan menghimpunkan 10 buah syarikat dan agensi, antaranya Berjaya Motors Sdn Bhd, Inchcape Sdn Bhd, Grand Motors Sdn Bhd, Premier Motor Co Sdn Bhd, Y Generation Enterprise, Setia Motors Sdn Bhd, Sime Darby Brunei, Happy Motoring Co Sdn Bhd, Sekretariat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    Salah satu tarikan utama ialah pameran kenderaan elektrik (EV) yang mempamerkan teknologi terkini dalam industri automotif. Antara kenderaan yang dipamerkan termasuk GWM Ora dan NETA V, GEM Tank (ICE) oleh Berjaya Motors Sdn Bhd dan Hyundai EV KONA oleh Setia Motors Sdn Bhd.

    Inisiatif tersebut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 7) iaitu ‘Tenaga Mampu Milik dan Bersih’. Pameran ini bertujuan mendidik dan memberi inspirasi kepada para pelajar tentang masa depan pengangkutan hijau dan peranan mereka dalam menyokong penyelesaian tenaga bersih.

     “Kami ingin mendorong pelajar untuk berfikir secara kritikal tentang bagaimana mereka boleh menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari melalui kerjaya mereka dalam sektor automotif,” kata Cikgu Armi dalam ucapannya.

    Acara tersebut turut menampilkan sesi perkongsian bersama alumni, pameran, dan peluang jaringan antara pelajar dan pemain industri. Inisiatif ini menyokong Pelan Strategik IBTE 2025–2030 dalam memperkukuhkan pembelajaran berasaskan amali dan latihan yang relevan dengan industri sebenar.

    Dengan kerjasama rapat bersama industri, IBTE terus komited untuk melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran masa depan dalam sektor automotif yang semakin dinamik dan berinovasi.

    Atas & Bawah: Tetamu kehormat melawat antara pameran yang diadakan.

    Sesi bergambar ramai semasa acara berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda