Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari ketiga sifar jangkitan, seorang sembuh

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Negara Brunei Darussalam sekali lagi tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu COVID-19 manakala seorang sembuh hari ini, bermakna jumlah keseluruhan kekal 138 orang dan 117 lagi sembuh.

    Dengan itu juga, kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan hanya berbaki 20 kes sahaja namun dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan, dan selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

    Statistik itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Menurutnya lagi, seramai 126 orang sedang menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah sebanyak 2,421 orang.

    “Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 243 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 12,149 ujian,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    “Mengenai kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa satu kes yang sedemikian telah disahkan sembuh manakala tidak ada kes baharu dilaporkan,” kongsinya lagi.

    Ini membawa jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini kekal seramai 18 orang di mana 11 orang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda