Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Lautan Sedunia: Memelihara nadi kehidupan bumi

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Hari Lautan Sedunia merupakan sebuah pergerakan global bagi individu dan masyarakat untuk merenung peranan mustahak yang dimainkan oleh lautan kita dalam mengekalkan kehidupan di bumi.

    Ia juga merupakan seruan global untuk bertindak bagi individu dan masyarakat supaya bersama-sama memperjuangkan pemuliharaan, perlindungan dan kemampanan ekosistem marin kita.

    Oleh itu, menerusi Minggu Lautan Brunei, kita mengesahkan semua komitmen untuk melindungi sumber yang tidak ternilai berkenaan.

    Perkara itu ditekankan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab ketika perasmian Sambutan Hari Lautan Sedunia yang berlangsung di Pusat Membeli-belah One City, hari ini.

    Usaha itu juga adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menekankan pentingnya penggunaan bertanggungjawab, komuniti mampan serta tindakan iklim di mana kesemuanya secara langsung memberikan kesan kepada kesihatan lautan dan masa depan kita.

    Hajah Tutiaty juga berpeluang menyaksikan pameran dan karya terbaik bagi pertandingan BOSH yang diketengahkan pada pameran itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Dayang Salinah menyampaikan hadiah bagi pemenang Kategori Nudibranch Potrait. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Tetamu kehormat ketika menyampaikan ucapannya. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Acara itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers, Awang Mohd Tahsin Wong bin Abdullah, pegawai-pegawai kanan dari KSSUP, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Poni Divers serta jemputan khas.

    Hajah Tutiaty dalam ucapannya lagi menyatakan bahawa sambil kita meraikan penggerakan global berkenaan, adalah penting juga untuk mengenali bagaimana setiap negara memainkan peranan dalam pemuliharaan lautan termasuk Negara Brunei Darussalam, daripada terumbu karang yang mantap kepada habitat persisiran uniknya serta kepelbagaian kehidupan marinnya.

    Khazanah semula jadi berkenaan, tambahnya, merupakan asas kepada pembangunan mampan, memerlukan penjagaan bertanggungjawab dan usaha pemuliharaan berterusan untuk memastikan perlindungannya bagi generasi akan datang.

    Majlis seterusnya menyaksikan sesi perkongsian bertajuk Brunei & Ocean, yang disampaikan oleh Zul Ng, di mana beliau mengetengahkan kepentingan menjaga khazanah laut negara.

    Salah satu kemuncak acara merupakan penyampaian Anugerah Brunei Ocean Shootout (BOSH) 2025 yang merupakan pertandingan fotografi dan video bertemakan laut yang disertai oleh peserta tempatan dan antarabangsa.

    Dalam pertandingan itu, Kategori Beach and Mangrove Habitat, pemenangnya ialah Dayang Nur Hayati Syamimi binti Ahmadnawi manakala bagi Kategori Nudibranch Potrait, pemenangnya ialah Dayang Nadzirah Malek-Webb di mana hadiah pemenang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan, Dayang Salinah binti Haji Mohd Salleh.

    Acara tersebut turut menayangkan treler dokumentari bertajuk Ocean with David Attenborough, yang memaparkan keindahan serta ancaman terhadap lautan dunia.

    Hajah Tutiaty juga berpeluang menyaksikan serta diberikan penerangan mengenai pameran dan karya terbaik bagi pertandingan BOSH yang diketengahkan pada Pameran Lautan Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda