Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Pasaran PB tawar graduan peluang pekerjaan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Pesta Konvo dan Hari Pasaran yang diadakan bersempena dengan Majlis Konvokesyen Politenik Brunei (PB) ke-10 bukan sahaja sebuah acara meraikan pencapaian akademik para pelajar tetapi ia juga meraikan daya tahan, semangat dan usaha keras para pelajar yang bakal menamatkan pengajian mereka.

    Pada masa yang sama, ia juga sebagai acara yang mengiktiraf usaha kolektif agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam pembentukan kejayaan PB sebagai institusi pendidikan yang menuju ke arah pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi serta berdaya saing bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Penekanan itu dibuat oleh Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon dalam ucapan alu-aluannya pada majlis yang berlangsung di Pusat Sehenti, Kampus Ong Sum Ping, PB, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal II), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Hajah Latifah binti Haji Mahmud.

    Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Lim Kian Boon menyatakan bahawa Hari Pasaran 2024 menyaksikan penyertaan 14 buah syarikat swasta di mana tiga buah syarikat menawarkan sesi temu duga terbuka dan akan menyediakan peluang pekerjaan serta menjana hubungan dalam membentuk kehidupan, kerjaya dan masa depan.

    Hajah Latifah menyaksikan dan diberikan penerangan mengenai projek-projek tahun akhir pelajar-pelajar PB. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara pengunjung yang sempat berinteraksi dengan pelajar-pelajar PB mengenai projek mereka. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Lim Kian Boon menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Pada majlis berkenaan, Hajah Latifah dijemput untuk menyaksikan aktiviti dan pameran yang telah disediakan bagi Pesta Konvo PB 2024 di Kampus Ong Sum Ping.

    Pesta Konvo 2024 berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Oktober dengan Hari Pasaran 2024 merupakan kali kedua ia diadakan untuk memeriahkan lagi Pesta Konvo tersebut.

    Hari Pasaran menjadi platform bagi agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada graduan-graduan PB.

    Aktiviti-aktiviti yang diadakan semasa Pesta Konvo itu adalah termasuk Projek Tahun Akhir Pelajar-pelajar PB, Hari Pasaran 2024 yang disertai oleh 14 buah agensi swasta, klinik penulisan CV dan temu duga yang dikendalikan oleh Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) dan tenaga pengajar PB, beberapa sesi ceramah dan sesi perkongsian dari Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Shell LiveWIRE Brunei, ahli alumni PB serta kempen derma darah pada 16 Oktober.

    Pesta Konvo tersebut juga akan menyaksikan acara keagamaan iaitu Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam pada 17 Oktober dan akan diakhiri dengan Majlis Penghargaan Graduan PB yang diadakan di Jerudong Park Amphitheatre pada 2 November nanti.

    Majlis Konvokesyen PB ke-10 akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas pada 24 Oktober nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda