Hari Perwira dan bahasa ibunda diperingati

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam, memperingati Hari Perwira dan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020 dengan mengadakan majlis menaikkan bendera separuh tiang, sesi perjumpa-an dan Doa Selamat di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh, Jalan Sungai Akar, hari ini.

Majlis dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Naib Marsyal Udara (B) Mahmud Hussain dan isteri serta lebih 50 orang warga Bangladesh yang bertugas dan menetap di negara ini.

Majlis dimulakan dengan upacara menaikkan bendera negara Bangladesh separuh tiang yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama dengan disaksikan oleh pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi, para tetamu khas dan warganegara Bangladesh.

Pada majlis itu, Tuan Yang Terutama juga mengetuai perarakan untuk meletakkan kalungan bunga di pentas khas bagi memperingati perwira-perwira yang diraikan.

Semasa dalam sesi perjumpaan itu, ucapan daripada Presiden Bangladesh, Tuan Yang Terutama Mohammadd Abdul Hamid; Perdana Menteri Bangladesh, Puan Yang Terutama Sheikh Hasina; Menteri Hal Ehwal Luar Bangladesh, TYT Dr AK Abdul Momen dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar, TYT Md Shahriar Alam, telah dibacakan.

Manakala itu, dalam ucapannya, TYT Naib Marsyal Udara (B) Mahmud menyentuh mengenai pentingnya untuk memperingati hari penuh signifikan iaitu Hari Perwira dan Bahasa Ibunda serta peranan yang dimainkan oleh Bapa Negara, Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman di mana dengan kepimpinannya, Bangladesh telah mencapai kemerdekaan berasaskan kepada bahasa, budaya dan identiti mereka sendiri.

Pada 17 November 1999, UNESCO telah mengisytiharkan 21 Februari sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang mencerminkan komitmen seluruh negara untuk melindungi dan mempertahankan bahasa ibunda masing-masing.

Hari Perwira dan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa diraikan sebagai penghormatan kepada pengorbanan perwira-perwira Bangladesh yang berjuang untuk mempertahankan bahasa ibunda mereka.

Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam memperingati Hari Perwira dan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020.