Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Tema Hari Pos Sedunia, ‘Lebih daripada Surat’, mencerminkan secara tepat peranan penyedia perkhidmatan pos hari ini selaras dengan Strategi Pos Sedunia 2017-2020 Universal Pos Sedunia (UPU) yang menekankan inovasi, kemasukan dan integrasi, tema itu bermatlamat untuk menangani akses universal dalam sektor perkhidmatan pos.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dalam perutusannya sempena Hari Pos Sedunia ke-146.
Disebabkan pandemik COVID-19, UPU telah mengambil peluang untuk menggunakan tema ‘Lebih daripada Surat’, untuk mengetengahkan keberanian dan dedikasi jutaan pekerja pos seluruh dunia dalam menghadapi cabaran pandemik global.
Dalam keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini, kakitangan pos adalah antara petugas barisan hadapan dalam pemprosesan, pengedaran dan penghantaran barangan penting kepada para penerima.
Kakitangan pos memainkan peranan yang penting dalam memastikan perkhidmatan berjalan seperti biasa, bukan sahaja bagi mengepos barangan biasa tetapi juga bagi penghantaran barangan keperluan tinggi seperti perubatan, peralatan perlindungan diri dan pelbagai keperluan berkaitan memandangkan keadaan pandemik.
Bagi Negara Brunei Darussalam, ini bukannya satu pengecualian.
Cabaran berikutan pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan rantaian penghantaran dan logistik disebabkan oleh penutupan sempadan dan gangguan penerbangan, telah menekankan pentingnya perkhidmatan pos dalam penghantaran lebih daripada surat.
Pada April 2020, jabatan itu telah memulakan perkhidmatan penghantaran dari pintu ke pintu dengan kolaborasi bersama platform e-dagang seperti aKadaiBrunei.com dan Weelago.com.
Pertumbuhan platform e-dagang khususnya semasa COVID-19 membuktikan bahawa terdapat penyelesaian di sebalik langkah-langkah kekangan dengan penyedia perkhidmatan penghantaran memainkan peranan penting dalam rantaian penghantaran kepada pelanggan.
Pertumbuhan platform e-dagang, memacu permintaan dan menurut statistik Jabatan Perkhidmatan Pos, dari April hingga September 2020, terdapat penambahan penghantaran bungkusan EMS Speedpost sebanyak 1,300 kilogram.
Juga pada April 2020, jabatan itu telah memudahkan orang ramai dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pengaturan dua hala dengan rakan sejawat daripada negara jiran dalam menguruskan sebanyak kira-kira 7,000 bungkusan yang belum diambil bagi penerima di Negara Brunei Darussalam.
Dalam penyediaan perkhidmatan berkenaan dalam normal baharu, perhatian serius diberikan kepada keselamatan dan kesejahteraan operator dan kakitangan yang mengendalikan barangan pos selaras dengan nasihat daripada autoriti relevan dalam mengurangkan penularan COVID-19.
Akhirnya, ke arah aspirasi menjadi sebuah negara pintar, Yang Berhormat Dato berkata, kementerian itu berharapan tinggi bagi perkhidmatan pos boleh dipercayai, berdaya tahan dan inovatif yang akan terus menjadi salah satu pemboleh utama bagi aktiviti dan sektor ekonomi lain di negara ini.