Wednesday, April 2, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Raya lambang keagungan Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APR – Hari Raya adalah syiar sebagai tanda kebesaran atau tanda keagungan agama yang mesti dipelihara kehormatannya.

    “Dengan apakah cara kita memelihara syiar Hari Raya itu? Tentu sahaja kita akan menyambut dan meraikannya dengan perkara-perkara yang tidak menyalahi ajaran agama, seperti tidak membazir, tidak sampai melupakan kewajipan-kewajipan asasi seperti sembahyang Fardu, di samping mengelakkan segala macam perkara mungkar”.

    Ini antara yang ditegaskan oleh khatib dalam Khutbah Hari Raya Aidilfitri 1446 Hijrah, kelmarin dan seterusnya menambah, Hari Raya adalah syiar suci, hanya dua golongan makhluk sahaja yang dikurniakan dengan Hari Raya, iaitu makhluk malaikat di langit dan orang-orang Islam di bumi.

    “Hari Raya bagi para malaikat mengikut satu pendapat, ialah Nisfu Syaban dan Lailatulqadar, sementara Hari Raya bagi kita pula ialah ‘Aidilfitri dan Aidiladha’,” jelasnya.

    Khatib seterusnya menambah, hari raya mengajar kita untuk berkongsi nasib sesama kita umat Nabi Muhammad.

    “Golongan berada akan membantu golongan tidak berada di mana golongan bernasib baik tidak akan melupakan golongan yang kurang bernasib baik. Caranya, kita telah disuruh untuk mengeluarkan zakat fitrah,” jelasnya.

    Katanya lagi, “ibadat zakat, lebih-lebih lagi zakat harta, adalah wadah untuk menyantuni golongan-golongan kurang bernasib baik yang terdiri daripada para asnaf yang berhak menerima zakat, dan disinilah indahnya Islam itu dalam mengatur kehidupan bermasyarakat, semua orang kaya, adalah bank kepada umat”.

    Khatib dalam khutbahnya turut menyentuh mengenai titah Hari Raya Aidilfitri 1446 Baginda, yang sangat berhikmah untuk dijadikan pedoman.

    Dalam hubungan ini, jelas khatib, kita tidak boleh melupakan saudara-saudara rakyat Palestin, yang sedang diganyang habis-habisan oleh musuh.

    “Semenjak 7 Oktober 2023 sehingga hari ini, sudah mencecah lebih 60 ribu nyawa telah terkorban, majoriti adalah kanak-kanak dan perempuan, mereka benar-benar bermandikan darah, dan hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui bagaimana penderitaan mereka,” tegasnya.

    Khatib dalam khutbah Hari Raya itu, turut mengongsikan kisah-kisah daripada kitab suci Al-Quran yang boleh dijadikan iktibar.

    Baitulmaqdis ini pernah dijajah oleh pihak bersekutu pada tahun 492H sehingga tahun 583H dan Allah seperti sahaja membiarkan tempat suci ini dikuasai oleh musuh selama 91 tahun.

    “Tetapi setelah itu, setelah cukup 91 tahun, barulah Allah mendatangkan seorang panglima, Shalahuddin al-Ayyubi dan askar-askarnya untuk mengambil balik Baitulmaqdis daripada tangan-tangan penjajah,” tambahnya.

    Ini juga adalah iktibar, jelasnya, Allah tidak lalai untuk membiarkan satu-satu kezaliman terus berlaku, melainkan Dia akan tetap menghukum para pelaku kezaliman itu sesuai dengan masa-masa yang ditentukan menurut hikmahNya.

    “Demikian itulah mengenai isu Palestin, Allah SWT sekali-kali tidak lalai untuk membuat perhitungan, hanya kita tidak tahu bilakah masa Allah akan membuat perhitungan itu menurut hikmahNya. Wallahualam,” jelasnya.

    Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman semasa menyampaikan khutbah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda