Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Jerudong Park Medical Center (JPMC) terus melakar mercu tanda penting dalam misinya untuk mempromosikan kesejahteraan individu dan masyarakat.
Oleh itu, JPMC meraikan ulang tahun 25 tahunnya dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan mengadakan Hari Sosial yang berlangsung di Berkshire Hall, Tarindak d’Polo, Royal Brunei Polo and Riding Club, hari ini.
Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar serta jemputan-jemputan khas.
Dalam ucapannya di majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa dalam meraikan mercu tanda berkenaan, mereka harus komited semula kepada misi untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang dan memupuk persekitaran yang menyokong dan menyembuhkan.
“Kami berikrar untuk terus berubah dan menyesuaikan diri kepada landskap perubatan yang berubah sambil terus menumpukan kepada keperluan individu setiap klien yang dilayani.”
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham turut menyatakan penghargaan kepada klien dan keluarga mereka atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan kepada mereka.
Beliau menambah bahawa keyakinan mereka dalam perkhidmatannya memberikan inspirasi kepada mereka untuk terus komited dalam menyediakan penjagaan kesihatan cemerlang untuk semua.
Evolusi itu, jelasnya, bukannya hanya mengenai mengembangkan keberadaan fizikal tetapi juga melaksanakan perubahan ketara kepada pendekatan penjagaan kesihatan JPMC di mana ia akan terus menjadi rakan kongsi penjagaan kesihatan awda untuk seumur hidup.
JPMC telah menjadi suar penjagaan kesihatan yang berkhidmat untuk negara dengan penuh dedikasi dan perkhidmatan perubatan terbaik. Dalam masa 25 tahun, JPMC terus berubah, berinovasi dan menetapkan tanda aras dalam industri penjagaan kesihatan dengan pengiktirafan yang diterimanya baru-baru ini, 4th Joint Commission International (JCI) Gold Seal of Approval, mengukuhkan lagi peranannya sebagai lambang unggul dalam kualiti penjagaan kesihatan di Negara Brunei Darussalam dan di pentas global.
Dedikasi yang tidak berbelah-bahagi JPMC kepada keselamatan pesakit, kualiti penjagaan dan kepatuhan kepada standard antarabangsa kekal menjadi sumber kebanggaan bagi organisasi dan individu yang menetapkan hala tuju yang cerah bagi masa hadapan.