Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Sukan ASEAN pupuk perpaduan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Dengan matlamat untuk mengeratkan hubungan persahabatan dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat ASEAN, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kedutaan ASEAN di Negara Brunei Darussalam mengadakan Hari Sukan ASEAN 2023 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelepasan peserta dalam acara walkaton ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Turut hadir ialah duta-duta besar dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dari negara-negara anggota ASEAN, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan dari kementerian-kementerian kerajaan.

    Majlis dimulakan dengan sesi pemanasan badan sebelum acara walkaton beramai-ramai yang turut disertai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    Acara turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sukan tradisional seperti tarik kalat serta pameran dan pertunjukan permainan tradisional dari negara-negara ASEAN termasuk Brunei seperti Pasang, Salok-Salokan dan Simban.

    Hari Sukan ASEAN 2023 diadakan bersempena Sambutan Hari ASEAN ke-56 dan ia juga merupakan komitmen semua negara ahli ASEAN yang telah dipersetujui semasa Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan bagi Sukan (SOMMA) yang telah diadakan pada November 2018 di Myanmar.

    Hari Sukan ASEAN diraikan pada setiap 8 Ogos. Acara ini merupakan kali kedua ia diadakan dengan kali pertama telah diadakan pada 2019 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda menyertai acara walkaton yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda