Monday, October 7, 2024
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Sukan pupuk perpaduan warga ASEAN

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Dalam usaha mengeratkan persahabatan dan memupuk perpaduan dalam kalangan warga ASEAN, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHELN) dan kedutaan-kedutaan besar serta suruhanjaya-suruhanjaya tinggi negara-negara ASEAN menganjurkan Hari Sukan ASEAN 2024 bertempat di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hari Sukan ASEAN yang diadakan bersempena Sambutan Hari ASEAN ke-57 itu merupakan komitmen semua negara ahli ASEAN yang telah dipersetujui semasa Mesyuarat Pegawai Kanan bagi Sukan (SOMS) yang berlangsung pada November 2018 di Myanmar.

    Ia diraikan setiap 8 Ogos dengan tujuan untuk mengeratkan persahabatan dan memupuk perpaduan, persefahaman serta kerjasama dalam kalangan masyarakat ASEAN.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan turut serta dalam acara walkaton ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Turut hadir ialah duta-duta besar dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dari negara-negara ASEAN, setiausaha-setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, KHELN dan KKBS dan pegawai-pegawai serta jemputan khas.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyertai sesi senamrobik semasa Hari Sukan ASEAN 2024. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Perlawanan bola jaring antara Pasukan KKBS menentang Pasukan KHELN. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara peserta yang menyertai acara walkaton semasa Hari Sukan ASEAN 2024. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Acara dimulakan dengan sesi senamrobik, diikuti walkaton beramai-ramai sejauh 3.2 kilometer yang disertai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    Selain itu, aktiviti yang juga diketengahkan termasuk perlawanan bola jaring, perlawanan futsal, pameran dan pertunjukan permainan serta makanan tradisi negara-negara ASEAN.

    Permainan tradisi negara-negara ASEAN yang diketengahkan ialah Carah Kaki Tiga dan pasang dari Negara Brunei Darussalam, Monkey Grab Leaves dari Kemboja, congkak dari Malaysia dan Patintero dari Filipina.

    Sementara itu, tiga pasukan telah mengikuti perlawanan futsal iaitu Pasukan KKBS, Pasukan KHELN dan Pasukan Kedutaan dan Surahanjaya Tinggi Negara-negara ASEAN.

    Dua pasukan yang telah menyertai perlawanan bola jaring terdiri daripada Pasukan KKBS dan Pasukan KHELN.

    Hari Sukan ASEAN 2024 merupakan kali ketiga ia diadakan dan buat kali keduanya diadakan di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda