Hari Sukan RB galak gaya hidup sihat

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), semalam, telah mengadakan Hari Sukan dan Keluarga RB di Peak Performance Sdn Bhd yang dianjurkan untuk mengumpulkan warga RB menampilkan gaya hidup aktif dan sihat serta menggalakkan semangat berpasukan dalam kalangan mereka.

Hadir selaku tetamu kehormat pada acara itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga selaku pengerusi Lembaga Pengarah RB.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan RB, seramai 185 orang kakitangan RB menyertai permainan-permainan RB yang disokong oleh warga pengurusan kanan RB, rakan-rakan, keluarga dan pengunjung.

Semasa acara sukan, rumah-rumah pasukan iaitu Wira, Aman, Ria dan Megah bersaing dalam enam permainan iaitu Fun Relay Sled Race, Fun Golf, Fun Football, Fun Hockey, Fun Dart dan Fun Labi-Labi Race.

Sempena Sukan RB, pelbagai aktiviti mesra keluarga juga diadakan bagi anggota keluarga dan anak-anak warga RB selain menyediakan gerai makanan dan minuman oleh kakitangan RB sendiri dengan 10 peratus hasil jualan akan disumbangkan bagi anak-anak yatim RB.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bersama kakitangan RB yang menyertai acara sukan berkenaan. – Gambar daripada RB