Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Sukarelawan dirai

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBS

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Hari Sukarelawan Antarabangsa merupakan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mana ia diadakan pada setiap 5 Disember.

    Ia dilihat sebagai peluang unik bagi para sukarelawan dan organisasi untuk meraikan usaha mereka, berkongsi dan mempromosi kerja mereka dalam kalangan komuniti, badan-badan bukan kerajaan, agensi-agensi swasta dan agensi kerajaan. Sehubungan itu, bersempena dengan sambutan berkenaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Kesyukuran Sambutan Kempen Hari Bertindak sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa secara dalam talian, kelmarin.

    Majlis itu dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil serta Doa Kesyukuran. Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Terhindar daripada Wabak COVID-19 dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

    Turut hadir secara dalam talian ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, persatuan dan pergerakan belia, belia-belia masjid, alumni program-program kebangsaan dan antarabangsa, penuntut-penuntut pengajian tinggi, ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Kempen Hari Bertindak sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa dan belia individu serta orang ramai. Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa bertujuan untuk mengumpul penggiat aktiviti sukarela dan para sukarelawan di dalam sama-sama melaksanakan kerja-kerja sukarela di samping untuk menghargai jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh penggiat aktiviti sukarela dan sukarelawan.

    Antara lain objektif utama sam-butan adalah untuk mengadakan maraton kerja sukarela di keempat-empat daerah dengan penglibatan daripada agensi kerajaan, swasta dan pergerakan-pergerakan bukan kerajaan. Kempen Hari Bertindak pada 2021 mempunyai sembilan kluster iaitu Hak Asasi Haiwan, Seni dan Kreatif, Kemasyarakatan, Bantuan Bencana, Pendidikan, Inisiatif Hijau, Keusahawanan Sosial, Kerohanian dan Keagamaan serta Pembangunan Belia.

    Sebanyak 114 aktiviti telah disusun setakat ini bagi Kempen Hari Bertindak 2021 seluruh negara dengan melibatkan lebih daripada 48 buah agensi dari pelbagai pihak. Beberapa aktiviti telah pun bermula awal pada November lalu dan kempen akan terus diadakan secara dalam talian sehingga Februari 2022.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan turut menyertai Majlis Kesyukuran Sambutan Kempen Hari Bertindak yang berlangsung secara maya, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda