Oleh Sim Y.H., Yusrin Junaidi & Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Sambutan Hari Raya Aidiladha pada hari ini terus disemarakkan dengan majlis-majlis ibadah korban yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak di negara ini termasuk kementerian-kementerian kerajaan.
Kementerian Pendidikan adalah antara yang mengambil kesempatan pada hari terakhir tasyrik untuk mengadakan majlis ibadah korban yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Rimba III.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pengagihan daging korban kepada para penerima ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Majlis anjuran bersama Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet dan Jabatan Pendidikan Swasta itu menyaksikan seramai 92 orang menerima agihan daging ibadah korban yang terdiri daripada penuntut-penuntut dari Sekolah Rendah Rimba I, Sekolah Rendah Rimba II dan Sekolah Rendah Rimba III.
Bagi tahun ini, tujuh ekor kerbau dikorbankan, hasil daripada penyertaan 49 orang pegawai dan kakitangan serta keluarga Kementerian Pendidikan.






Dalam pada itu, seramai 127 orang telah menerima agihan daging korban pada majlis yang anjurkan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan MTIC, hari ini.
Hadir bagi menyempurnakan pengagihan daging-daging korban ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Pada tahun ini, lima ekor kerbau telah dikorbankan dan para penerima terdiri daripada golongan asnaf di bawah tadahan kawasan Mukim Berakas A dan B, anak-anak yatim dan warga MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan ceramah khas bertajuk Ibadah Korban Menurut Perspektif Islam yang disampaikan oleh Ketua Guru Ugama Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), Haji Ishkandar bin Haji Buntar.
Sementara itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya juga telah mengadakan majlis serupa yang berlangsung di kementerian berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Pada majlis itu, seramai 177 orang terdiri daripada penghuni Pusat Penempatan Sementara (PPS) dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), anak-anak yatim dan warga KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya menerima agihan daging korban.
Empat ekor kerbau telah dikorbankan bagi majlis berkenaan yang merupakan aktiviti tahunan yang diungkayahkan oleh Badan Kebajikan dan Keagamaan, KKBS bagi menyemarakkan sambutan hari-hari kebesaran Islam, di samping mengongsikan kegembiraan bersama golongan yang kurang berkemampuan.
Manakala itu, kelmarin, Kementerian Pembangunan turut mengendalikan majlis serupa yang berlangsung di Dewan Indra Pahlawan, Bangunan Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin POKAP DSS Haji Zakaria.
Pada tahun ini, tiga ekor kerbau telah dikorbankan dan daging-dagingnya telah diagihkan kepada seramai 117 orang penerima terdiri daripada kalangan warga kementerian itu yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Terdahulu, majlis juga diserikan dengan ceramah khas bertajuk Menteladani Tarbiyah Keluarga Nabi Ibrahim yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhd Yussof bin Haji Abdul Majid.

