Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari terbuka bariga program KUPU SB 2024

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Akademik, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Ilmu Teras menganjurkan Hari Terbuka Studi di KUPU SB 2024, kelmarin, bertempat di kawasan kampus, kolej universiti berkenaan.

    Hari terbuka tersebut dimulakan dengan majlis perasmian oleh Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar. Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama, pensyarah dan pegawai serta kakitangan KUPU SB.

    Sehubungan itu, kolej tersebut menawarkan pelbagai bidang program akademik termasuk di peringkat ijazah doktor falsafah, sarjana, Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah, sarjana muda, program diploma tertinggi dan diploma pengajian bidang pengkhususan yang diselaraskan oleh empat fakulti utama iaitu Fakulti Usuluddin, Fakulti Syariah, Fakulti Pendidikan dan Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan.

    Selain itu, penawaran program akademik turut disokong oleh enam pusat termasuk Pusat Bahasa, Pusat Ilmu Teras, Pusat Pengajian Lepas Ijazah dan Penyelidikan, Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath serta Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah. Selain itu, antara tawaran program akademik lainnya ialah penawaran kursus-kursus minor dan program berkembar bagi mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB dalam program sarjana muda.

    Antara objektif diadakan hari terbuka berkenaan adalah untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai secara umumnya mengenai KUPU SB sebagai sebuah kolej universiti yang berfokuskan kepada bidang perguruan agama di Negara Brunei Darussalam.

    Dr Haji Adanan merasmikan majlis hari terbuka KUPU SB, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Orang awam juga berpeluang untuk mendapatkan maklumat semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Para pelajar diberikan penerangan mengenai pengajian yang ditawarkan di KUPU SB. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Selain itu, ia diharapkan dapat memberikan peluang kepada pelajar-pelajar secara khususnya bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai program-program akademik yang ditawarkan di KUPU SB. Tambahan lagi, ia merupakan wadah bagi para mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB untuk mempamerkan kegiatan-kegiatan kokurikulum dan keusahawanan yang dilaksanakan di kolej universiti.

    Antara pengisian dalam hari terbuka berkenaan termasuk pembarigaan dan sesi konsultasi mengenai program dan kursus akademik melalui petak-petak maklumat fakulti dan pusat bertempat di Dewan Tarbiah KUPU SB, pameran-pameran kokurikulum termasuk pasukan-pasukan beruniform seperti kadet tentera, polis, bomba, pengakap, pandu puteri dan bulan sabit merah yang disertai mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.

    Selain itu, pameran nadi-nadi KUPU SB seperti nadi memasak, nadi Lakastah Ber-MIB, nadi Oh My English, nadi Mahabbah Rasulullah, nadi pertanian, nadi rawatan Islam dan lain-lain yang berlangsung di Dewan Ta’dib.

    Turut serta ialah bazar jualan oleh mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB serta orang-orang persendirian.

    Pendaftaran bagi kemasukan ke KUPU SB sesi 2024/2025 akan dibuka bermula pada 19 Februari hingga 16 Mac 2024 melalui pautan pendaftaran yang boleh diperoleh di laman sesawang KUPU SB.

    Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai program dan aktiviti KUPU SB boleh diperolehi melalui laman sesawang rasmi KUPU SB iaitu www.kupu-sb.edu.bn, Instagram rasmi KUPU SB iaitu @official_kupusb dan Facebook Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda