Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Dalam mempamerkan ruang inovatifnya yang didedikasikan untuk peniaga tempatan dan pengusaha kecil dan sederhana (PKS), Bank Baiduri telah mengadakan Hari Terbuka Baiduri Enterprise Hub.
Dikhususkan untuk pengamal-pengamal media, acara itu bertujuan untuk berkongsi pengalaman mereka mengenai Enterprise Hub. Ramai daripada mereka menggunakan platform media untuk berkongsi pengalaman dan pandangan mereka.
Sebelum acara, Ketua Perbankan Perniagaan Bank Baiduri, Awang Mohammad Isa Liew bin Mohd Amin Liew meninjau sekitar ruang hab berkenaan.
Beliau antara lain mengongsikan, tujuan hab berkenaan adalah untuk memupuk sinergi dalam kalangan usahawan sambil menyampaikan kandungan pengetahuan perniagaan untuk memberi panduan ke arah perjalanan pertumbuhan mereka.
Hari Terbuka Baiduri Enterprise Hub itu turut disertai oleh rakan-rakan Bank Baiduri termasuk Darussalam Enterprise (DARe), LiveWire, Ghanim, Brunei Gas Carriers, Pihak Berkuasa Industri Infokomunikasi (AITI) dan Tack and Roll.
Di samping mempromosikan kesedaran mengenai hab berkenaan dan tawaran utama di bawah perbankan perniagaan, sesi tersebut turut menyediakan platform untuk pencipta kandungan digital dan lain-lain dalam industri media tempatan menjalin hubungan.
Baiduri Enterprise Hub terletak di atas cawangan Serusop di Kompleks Pelangi, Kampung Delima Satu.
PKS yang berhasrat untuk menggunakan kemudahan di hab berkenaan, boleh mendaftar untuk keahlian secara percuma.



