Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Terbuka Kapal Latihan Gagah Samudera di Kuching hari ini

    KUCHING, 20 Feb – Penduduk sekitar bandar raya Kuching dipelawa untuk memeriahkan Hari Terbuka Kapal Latihan Gagah Samudera, platform latihan terbaharu dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang berlabuh di Pelabuhan Pending, esok.

    Pegawai Memerintah Gagah Samudera Komander Mahamad Nazir Darus berkata orang ramai yang hadir akan didedahkan kepada tugas, fungsi serta berpeluang berkongsi pengalaman melawat kapal tersebut yang dibina bagi memenuhi keperluan latihan di laut untuk warga TLDM.

    “Program bermula 9 pagi hingga 5 petang, mereka yang hadir akan diberi pendedahan mengenai tugas, fungsi serta berpeluang merasai pengalaman anggota mengendalikan kapal ini. Kita mahu rakyat tahu TLDM memiliki aset yang bagus dan baik untuk melatih anggotanya.

    “Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk memberi pengalaman kepada mereka yang hadir seperti lawatan di dalam kapal. Program juga akan memberi peluang masyarakat untuk berinteraksi dengan anggota bagi memastikan kewujudan TLDM disedari dan disukai semua orang,” katanya ketika ditemui pemberita di Pelabuhan Pending di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mahamad Nazir berkata Kapal Latihan Gagah Samudera telah hampir sebulan belayar melibatkan perjalanan dari Lumut, Kuantan, Kota Kinabalu, Sandakan dan Kuching.

    Komander Mahamad Nazir Darus pada sidang media mengenai Hari Terbuka Kapal Latihan Gagah Samudera, kelmarin. – Bernama

    “Kami akan berlabuh di Kuching sehingga Jumaat, sebelum meneruskan pelayaran ke Bintulu. Antara tujuan pelayaran kali ini ialah untuk memberi pendedahan kepada 20 pegawai dalam latihan yang akan dilatih untuk menjadi pegawai eksekutif.

    “Latihan kali ini juga bertujuan memberi pendedahan ‘port familiarisation’ kepada mereka mengenai pelabuhan TLDM serta pelabuhan awam yang terdapat di negara ini,” katanya.

    Mahamad Nazir berkata selepas hampir setahun beroperasi kapal Gagah Samudera telah mencapai jarak perjalanan hampir 8,000 batu nautika dalam dan luar negara serta pernah menyertai pelayaran luar negara ke Pattaya, Thailand dan Bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam.

    Kapal latihan yang dioperasi 45 kru mampu menampung 60 pelatih dan beroperasi sejauh 2,500 batu nautika tanpa henti dengan kelajuan optimum 12 knot atau selama 14 hari di laut. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda