Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Hari Terbuka Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) membuka tirainya hari ini di kampus KUPU SB di mana orang ramai terutamanya pelajar berpeluang mengetahui lebih lanjut mengenai program-program yang ditawarkan dan sebagainya.
Perasmian acara yang akan berlangsung sehingga 28 Februari itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.
Pemangku Penolong Ra’es, Datin Dr Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh dalam ucapannya selaku pengerusi Hari Terbuka KUPU SB menjelaskan bahawa hari terbuka berkenaan antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai dan pelajar-pelajar khususnya untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai program-program yang ditawarkan dan juga kegiatan akademik serta kokurikulum di KUPU SB serta berpeluang berinteraksi secara langsung bersama pensyarah-pensyarah dan pegawai-pegawai KUPU SB.
Di samping itu, semasa acara itu, pelbagai kegiatan kokurikulum dan juga aktiviti serta program yang dikendalikan bersama rakan strategik KUPU SB juga dipamerkan.
Selepas perasmian Hari Terbuka KUPU SB, majlis disusuli dengan tayangan video sukarelawan ‘Frontliners’ KUPU SB. Sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih atas kerjasama dan penyertaan rakan-rakan strategik serta pelajar sukarelawan KUPU SB, tetamu kehormat turut menyempurnakan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan.
Tumpuan utama pada Hari Terbuka KUPU SB ialah ‘Study at KUPU SB’ di mana pelbagai program akademik ditawarkan iaitu pada peringkat ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama dan ljazah Sarjana Perguruan Ugama dalam pelbagai bidang termasuk Usuluddin, Syariah, Sejarah dan Tamadun Islam, Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan Kajian Ahli Sunnah Waljamaah.
Turut ditawarkan ialah diploma pengajian termasuk Diploma Pengajian Seni Al-Quran, Diploma Pengajian Kitab Turath, Kemahiran Jawi dan Kaligrafi serta Diploma Pengajian Fiqh Al-Usrah.
Selain itu, sebanyak 52 petak pameran dan jualan daripada pelbagai vendors turut diadakan bagi menyerikan Hari Terbuka KUPU SB termasuk pameran Kokurikulum pelajar KUPU SB, pameran statik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), ekspo keusahawanan, taklimat keusahawanan dan pendidikan keselamatan bomba, bengkel-bengkel kemahiran seperti tip menulis CV dan temu duga, bengkel refleksologi sukan, sukan memanah dan tayangan filem pelajar KUPU SB.
Turut diadakan ialah pameran kebudayaan yang disertai oleh beberapa kedutaan luar negara.

