Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Terbuka L3C perluas peluang pembelajaran

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Buat julung kalinya, Kementerian Pendidikan melalui Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C) mengadakan Hari Terbuka L3C 2023 selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Julai di Dewan Serba guna L3C.

    Ia disertai oleh 20 peserta pameran yang terdiri daripada Pusat L3C; Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan pembekal-pembekal latihan berdaftar daripada sektor awam dan swasta serta pelbagai vendor makanan yang terdiri daripada alumni program masakan dan kraf tangan L3C.

    Hadir menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian acara itu ialah Penolong Pengarah (Akademik), L3C, Kementerian Pendidikan, Walter Chong Meng Siong yang berkata bahawa dengan pertumbuhan dan perkembangan dunia yang kian berkembang pesat, pencarian ilmu merupakan perkara yang sangat penting.

    Landskap pendidikan sedang berubah dan model pembelajaran tradisional juga sedang berubah.

    “Di L3C, kami menyedari akan kepentingan perubahan ini dan untuk mengikuti perubahan ini, kami berusaha untuk berada di barisan hadapan dalam memberikan pengalaman pembelajaran yang inovatif.

    Dayang Nurrafidah semasa ditemu bual. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Antara pengunjung yang datang ke petak pameran yang telah disediakan pada program berkenaan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

    “Pembelajaran sepanjang hayat merupakan komitmen kami dalam nilai teras kami dan dedikasi inilah yang mendorong kami untuk mewujudkan persekitaran rasa ingin tahu tanpa batas dan dahaga untuk pengetahuan yang lebih tinggi,” ujarnya.

    Beberapa orang peserta yang sempat ditemui, Pengurus Operasi Syarikat Latihan Megamas, Awang Mohamad Roshawandi Kamaluddin berkata, untuk pameran tersebut, syarikat mereka menawarkan pelbagai kursus antaranya yang berhubung kait dengan lifting operation, rigger dan sebagainya.

    Selain itu, kursus-kursus lain juga ditawarkan bagi yang berminat, termasuk kursus logistik seperti mengendali kenderaan berat dan banyak lagi.

    Ketua Unit Pengurusan Program dan Pemasaran, Bahagian Pendidikan Lanjutan dan Latihan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dayang Nurrafidah binti Mohammad Salleh pula berkata “Setakat ini, kami merupakan satu divisyen di bawah IBTE di mana kami membarigakan kursus-kursus pendek dan program. Kursus-kursus berkenaan diambil daripada Program sepenuh masa IBTE”.

    Sepanjang acara hari terbuka berkenaan, taklimat-taklimat turut disusun untuk disampaikan oleh pembekal-pembekal latihan. Para pengunjung juga akan berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan para peserta pameran.

    Selain itu, pembayaran yuran pendaftaran untuk menyertai program-program peningkatan akademik, perkembangan komuniti dan perkembangan peribadi juga boleh dibuat semasa hari terbuka tersebut dari 9 pagi hingga 3 petang.

    Antara objektif utama hari terbuka tersebut adalah bagi memperluaskan dan mempelbagaikan peluang-peluang pembelajaran sepanjang hayat orang ramai, khususnya orang dewasa dan lepasan sekolah, selaras dengan peranan L3C.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda