Sunday, September 8, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Terbuka L3C perluas peluang pembelajaran

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Orang ramai berpeluang untuk mengetahui dengan lebih dekat mengenai program-program yang ditawarkan oleh Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C) semasa Hari Terbuka L3C ke-2, 2024 bermula hari ini hingga 26 Julai.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Pembukaan bagi Hari Terbuka L3C ke-2, berlangsung di Dewan Serba guna, L3C, hari ini.

    Hari terbuka itu diadakan selama dua hari bermula dari pukul 8:30 pagi hingga pukul 4:30 petang, kecuali Jumaat dari pukul 9 pagi hingga pukul 12 tengah hari dan pukul 2 petang hingga pukul 4 petang.

    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah L3C, Kementerian Pendidikan, Dr Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid dan diikuti dengan taklimat daripada pembekal-pembekal latihan yang telah disusun untuk para
    pengunjung di sepanjang hari terbuka.

    Hari terbuka itu merupakan salah satu inisiatif yang dianjurkan oleh L3C dalam mempromosikan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan orang dewasa dengan mengetengahkan pelbagai peluang pembelajaran sepanjang hayat yang tersedia.

    Sebanyak 17 buah agensi menyertai pameran semasa hari terbuka berkenaan yang terdiri daripada L3C, Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM), Jabatan Perdana Menteri; Pusat Pekerjaan Brunei (PPB), Safety, Health and Environment National Authority (SHENA), Centre for Lifelong Learning (C3L), Universiti Brunei Darussalam, Pusat Pembangunan Belia, Megamas Training Company Sdn Bhd, Rhymin & Partners Sdn Bhd dan pembekal-pembekal latihan berdaftar yang lain daripada sektor awam dan swasta.

    Melalui pameran dan taklimat itu, para pengunjung akan dapat meneroka lebih daripada 100 program pembelajaran sepanjang hayat atau latihan jangka pendek termasuk program peningkatan kemahiran dan pengukuhan kemahiran, yang tersedia hingga akhir 2024 dalam pelbagai bidang seperti ICT, kewangan, kesihatan, keselamatan, dan alam sekitar (HSE), kemahiran pengurusan, keusahawanan serta pembinaan.

    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Antara pengunjung yang datang ke petak pameran yang telah disediakan semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda