Hari terbuka promosi PKWE BM

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Hari Terbuka Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara (PKWE BM) yang diadakan di bawah Program Indung Ku Sayang (PInKS) telah dirasmikan hari ini.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum pelancaran acara dengan tayangan Video Korporat PKWE BM dan disusuli dengan satu lagi tayangan video mengenai objektif-objektif PKWE BM serta aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh pusat berkenaan seperti kelas-kelas keagamaan, literasi komputer, masakan, kraftangan dan sebagainya.

Kemudian, tetamu kehormat melawat pameran badan-badan bukan kerajaan dan sukarelawan yang menyertai dan menyumbang kepada aktiviti-aktiviti PKWE BM termasuk pameran pemeriksaan kesihatan dan diakhiri dengan pengagihan sumbangan bubur kepada para pengunjung Hari Terbuka PKWE BM.

PInKS merupakan program khid-mat masyarakat Kumpulan 3 Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-28 yang dikendalikan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika merasmikan Hari Terbuka PKWE BM.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan melawat salah satu pameran yang diadakan pada acara itu.

Acara hari terbuka berkenaan diadakan dengan kerjasama PKWE BM dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Objektif utama PInKS adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kewujudan PKWE BM terutama sekali dalam kalangan warga emas dan seterusnya meningkatkan jumlah keahlian warga emas berdaftar di pusat berkenaan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkukuhkan lagi aktiviti-aktiviti sedia ada di PKWE BM dengan melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dalam memberikan sumbangan kepada warga emas sama ada dari segi kewangan, tenaga, ilmu dan kemahiran.

Dalam pada itu, PInKS juga menggalakkan warga emas yang berdaftar di pusat berkenaan untuk turut sama menyumbang kepada masyarakat masa kini dengan perkongsian pengalaman, ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran mereka.

Turut hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut, ahli-ahli PKWE dan Pusat Masyarakat Bestari (PMB) di seluruh daerah, Pertubuhan Wargamas, persatuan badan-badan bukan kerajaan dan rakan strategik KKBS serta pegawai-pegawai kanan di KKBS.