Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 28 JULAI – Para pengunjung dan belia berpeluang merasai pengalaman bermain pingpong buat kali pertama semasa acara Hari Terbuka Pingpong yang diadakan sempena Festival Sukan Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC), kelmarin.
Acara tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pingpong Daerah Belait (PPPDB) dengan kerjasama Topspin KB, BSRC dan Big Kem Project, sebagai sokongan kepada festival sukan berkenaan. Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani, hadir selaku tetamu kehormat, diiringi oleh Penghulu Mukim Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin, yang turut hadir dalam klinik pingpong bagi mendalami sukan tersebut.
Menurut Pengerusi PPPDB, Raymond Lee, acara hari terbuka tersebut bukan sahaja bertujuan memperkenalkan sukan pingpong kepada pemain baharu yang berpotensi, malah juga sebagai persediaan awal bagi Kejohanan Terbuka Pingpong Brunei 2025 yang akan dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79.
“Semasa Hari Terbuka Pingpong hari ini, kami menyediakan pelbagai aktiviti seperti klinik pingpong, di mana jurulatih mengajar peserta asas sukan pingpong. Ini bertujuan untuk menjadikan sukan ini lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Pengunjung daripada semua peringkat umur dialu-alukan untuk mencuba bermain dan belajar bersama jurulatih serta pemain berpengalaman,” tambah Raymond Lee.
Beliau turut menyatakan harapan agar acara Hari Terbuka itu dapat menjadi asas kukuh kepada pembangunan sukan tersebut, terutama sekali apabila persatuan sedang membuat persiapan untuk menganjurkan kejohanan tahunan yang dijadualkan bermula pada 24 Ogos nanti.
