Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 15 NOV – Bagi memperingati ulang tahun ke-10 berpindah ke bangunan tetap, Sekolah Arab Belait (SAB) telah menganjurkan Hari Terbuka di sekitar kampus sekolah di Jalan Dipa Negara, Kuala Belait, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh yang disambut oleh Pemangku Guru Besar SAB, Pengiran Hajah Masniah Nur Amalina binti Pengiran Hussin.
Dalam ucapan perasmian, Pengiran Hajah Masniah Nur Amalina mengimbau kembali sejarah sekolah dan pelbagai pencapaian sejak 10 tahun lalu.
Dengan bertemakan Pusat Inovasi: Inovasi ke arah Kecemerlangan, beberapa pengumuman telah dibuat semasa hari terbuka itu termasuk pelancaran e-buku baharu bertajuk Hariku Bercalakkan Sunnah yang boleh didapati secara percuma.
Tetamu kehormat juga melawat pameran yang mengetengahkan sejarah sekolah, serta memperingati majlis itu dengan menandatangani salah satu daripada beberapa salinan fizikal e-buku yang dilancarkan semasa acara tersebut.
Turut diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan hari terbuka sekolah itu ialah permainan dan aktiviti yang menyeronokkan di gerai-gerai yang disediakan di dalam bilik darjah yang memaparkan pelbagai jenis mata pelajaran daripada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab hinggalah ke Sains dan Teknologi.
Gerai-gerai turut didirikan di kawasan letak kereta yang dikendalikan oleh para peniaga tempatan dan usahawan menjual pelbagai makanan dan minuman yang membantu memeriahkan lagi sambutan.
Selain meraikan ulang tahun ke-10, majlis itu juga berperanan membantu mengeratkan silaturahim antara pelajar, guru, serta alumni sekolah.