Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) baru-baru ini telah mengadakan Hari Terbuka UNISSA selama dua hari bertempat di Dewan Auditorium UNISSA.
Hari Terbuka UNISSA tersebut diadakan bertujuan bagi memberi peluang kepada orang ramai terutama ibu bapa dan pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi untuk mendapatkan maklumat mengenai program-program yang ditawarkan di samping memberikan maklumat prosedur permohonan serta kelayakan yang bersesuaian.
Antara yang dipaparkan sepanjang Hari Terbuka UNISSA ialah pameran program-program yang ditawarkan oleh tujuh buah fakulti di UNISSA dan beberapa pusat akademik yang merangkumi Program Ijazah Diploma Tertinggi Kebangsaan, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan juga Ijazah Doktor falsafah. Dalam usaha ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, UNISSA telah memperkembangkan lagi bidang ilmu pengetahuan dan kepakaran dengan membuka dua fakulti baharu iaitu Fakulti Teknologi Islam dan Fakulti Pertanian.
Fakulti Teknologi Islam menawarkan program Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Teknologi Media dan Komunikasi Islam. Manakala Fakulti Pertanian menawarkan program Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah Sains Dalam Pertanian (Agribisnis). Pada tahun ini, Hari Terbuka UNISSA tersebut juga disemarakkan dengan Bazar jualan amal bersempena dengan Program Sedekah Week: Ukhwah for Ummah yang merupakan kali kedua diungkayahkan oleh mahasiswa-mahasiwi daripada Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU).
